• Fri. Oct 7th, 2022

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Selebriti bantu Jakim jayakan kempen antifitnah media sosial

Sep 20, 2022
Spread the love

PUTRAJAYA: Beberapa selebriti terkenal tanah air tampil membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjayakan kempen Hentikan Fitnah Media Sosial anjuran agensi itu.

Antaranya ialah Shahmira Ahmad atau lebih dikenali Shuib Sepahtu; mualaf Muhammad Adam Muhibullah Abdullah yang menjuarai satu program televisyen pada 2018; pelakon dan pengarah filem, M. Subash Abdullah serta pengacara program bicarawara isu agama popular, Forum Perdana Ehwal Islam, Mohd. Hariri Mohd. Daud.

Turut terlibat ialah pempengaruh terkenal kandungan Tik-Tok, Ryan Bakery serta jurubahasa isyarat yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Syar Meeze Mohd. Rashid.

Kempen julung kali itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan melancarkan klip video berdurasi satu minit 30 saat, di sini hari ini.

Uniknya, beliau sendiri turut ‘membintangi’ dalam rakaman tersebut dengan menyampaikan nasihatnya secara ringkas bersama-sama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusof.

Bercakap dalam sidang akhbar, Idris menyatakan bahawa kempen itu bertujuan membendung penularan banyak hantaran palsu dalam kalangan warganet tempatan sejak akhir-akhir ini.

“Kempen ini juga tiada tempoh tamat malahan kita menyeru agar semua warganet untuk menukar profil dan status media sosial dengan tanda pagar #hentikanfitnahdimediasosial,” katanya.