SEORANG remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Jinjang Utara, Kuala Lumpur, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisoner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 4.15 petang.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa tinggal bersama kakak berusia 18 tahun dan ibu bapa saudara di rumah terbabit.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa kakak meninggalkan mangsa yang sedang bermain permainan komputer untuk pergi ke tandas.
“Apabila keluar dari tandas, kakak melihat mangsa sedang memanjat tingkap yang terdapat di dalam bilik utama tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kakak mangsa telah berlari ke arah mangsa untuk menarik ke dalam tetapi tidak sempat.
Siasatan di lokasi mendapati rumah tersebut tidak dilengkapi dengan jeriji besi.
“Mangsa disyaki telah tergelincir semasa memanjat keluar tingkap dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam insiden ini.
“Semakan pada komputer mendapati terdapat satu artikel bertajuk “How to die in apartment” yang dipercayai dilihat oleh mangsa,” ujarnya.
Eng Lai berkata, kakak mangsa mendakwa adiknya tidak menunjukkan sebarang perilaku untuk membunuh diri.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur bagi bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.