• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Senarai pendek calon PAS ditentukan hari ini

Oct 25, 2022
Spread the love

Putrajaya: Pas akan bermesyuarat hari ini bagi menyenarai pendek calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, calon yang disenarai pendek akan diumumkan sebelum hari penamaan calon PRU-15 pada 5 November ini.

Menurutnya, senarai calon sudah hampir dimuktamadkan dan terdiri daripada pelbagai golongan termasuk orang muda, pensyarah, ulama dan aktivis masyarakat.

“Sebenarnya, Pas kurang berminat menonjolkan golongan wanita sebagai calon kerana mereka berhadapan pelbagai kekangan dan masalah namun senarai yang bakal bertanding akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pas mengumumkan akan bertanding lebih 60 kerusi Parlimen menggunakan lambang parti itu untuk tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU-15.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jumlah kerusi yang ditandingi PAS itu diputuskan jawatankuasa perundingan kerusi Perikatan Nasional (PN) dan pembahagian kerusi belum dimuktamadkan kerana masih dalam proses rundingan.

Sementara itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) masih lagi berteka-teki sama ada akan bertanding di Parlimen Bukit Gantang di Perak, dan nama beliau disebut-disebut akan bertanding kerusi itu pada PRU-15.