Bersatu menyifatkan penahanan Bendahari Agung Bersatu, Datuk Salleh Bajuri sebagai satu cubaan memberi tekanan kepada parti itu bagi mencari kesalahan yang tidak wujud.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tiada sebab munasabah bagi penahanan itu susulan Salleh sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Pada 1 Mac 2023 beliau (Salleh) sekali lagi dipanggil secara tergesa-gesa. Apabila hadir untuk memberi keterangan, beliau ditahan reman.
“Bersatu berpendirian bahawa tahanan reman ke atas Datuk Salleh adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin Bersatu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.
“Sebenarnya tiada sebab yang munasabah untuk SPRM memohon penahanan reman Datuk Salleh atas alasan siasatan kerana beliau sentiasa hadir dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya setiap kali diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salleh ditahan reman selama dua hari iaitu pada 2 hingga 3 Mac.
Menurut Hamzah Salleh dipanggil beberapa kali ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebelum ini untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.
“Datuk Salleh telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan SPRM sejak Januari 2023 lagi. Setiap kali dipanggil, beliau hadir. Setiap kali ada permintaan dokumen, beliau serahkan.
“Tidak pernah beliau menolak permintaan SPRM walaupun diminta pada saat-saat akhir,” katanya.
Dalam pada itu beliau menyifatkan tindakan menjalankan siasatan ke atas vendor-vendor Bersatu adalah sebahagian daripada pemburuan politik kerajaan PH-BN yang masih berterusan.
“Bersatu menyeru supaya kerajaan PH-BN berhenti melakukan pemburuan politik yang tidak berkesudahan ke atas Bersatu. Terimalah hakikat bahawa pucuk pimpinan Bersatu tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang
“Penyata kewangan Bersatu diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam Persidangan Agung Tahunan. Tidak ada apa-apa perkara tidak teratur ditemui dalam penyata kewangan tersebut, yang telah disahkan oleh juruaudit bertauliah,”katanya.