• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Seorang lagi Peguam AMANAH mohon maaf kepada Dr Kamarul

Feb 19, 2022 ,
Spread the love

SHAH ALAM, 19 FEB 2022 – Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, baru-baru ini menerima satu lagi permohonan maaf daripada seorang peguam AMANAH, iaitu Wan Anwar Wan Ibrahim.

Permohonan maaf ini menyusuli tindakan sama daripada seorang peguam PAN lain yang juga Naib Ketua Pemuda PAN Negeri Perak, Mohd Fitri Asmuni, pada 11 September 2021.

Berdasarkan dokumen penyelesaian persetujuan yang dikeluarkan oleh mahkamah, Wan Anwar didapati membuat permohonan maaf tersebut 7 Februari lalu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Lailatul Zuraida Binti Harron @ Haron.

Selain memohon maaf, dokumen penyelesaian juga mencatatkan Wan Anwar juga bersetuju menarik balik kesemua kenyataan beliau yang tersiar di laman portal berita Malaysia Dateline dan di laman Kelab Greenboc tersebut.

Wan Anwar, yang juga mantan mantan Pegawai Khas kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff, sebelum ini disaman oleh Dr Kamarul kerana memfitnah beliau melalui artikel di laman portal berita Malaysia Dateline dan di laman Kelab Greenboc tersebut.

Di dalam artikel bertajuk “Kanun nasihat Dr Kamarul usah tulis picisan menangkan BN” dan “Isu Hannah Yeoh, KANUN libas kenyataan Pensyarah” tersebut, Wan Anwar didapati telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbunyi:
(a) “Biro Undang-Undang (Kanun) PAN menasihati pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff supaya fokus kepada penyelidikan ilmiah berbanding mengeluarkan kenyataan murahan menyebelahi Barisan Nasional.”
(b) “Selaku pensyarah universiti, eloklah beliau menumpukan kepada kerja-kerja akademik dan tidak menulis tulisan picisan di Facebook sahaja yang bertujuan memenangkan Barisan Nasional dan mengalahkan Pakatan Harapan.”
(c) “Fahaman sempitnya itu perlu diselesaikan terlebih dahulu supaya hujahan beliau tidak melencong dan tersasar.”
(d) “Kanun juga melihat cabaran beliau supaya Kanun membuat laporan polis di bawah Akta Hasutan menggambarkan beliau sendiri tidak pernah membaca Akta Hasutan, apatah lagi untuk mengkaji isi kandungan Akta Hasutan.”
(e) “Apa yang Kanun nyatakan adalah bahawa motif utama Dr Kamarul adalah untuk menjadi alat bagi menghasut orang ramai untuk membenci DAP dan Pakatan Harapan.”
(f) “Tulisan beliau itu hanyalah tulisan picisan politik yang bertujuan untuk membakar api kebencian orang ramai kepada DAP dan seterusnya memenangkan Barisan Nasional.”

Dr Kamarul sebelum ini dilaporkan menerima banyak permohonan maaf daripada pemimpin politik yang beliau saman kerana memfitnah, termasuk Jamzuri Ardani, Kamal Koh Abdullah, Ahmad Zhafri Md Noor dan Muhammad Al Hanif Mah Hassan.

Dr Kamarul juga turut menyaman beberapa pemimpin besar lain seperti Khalid Samad dan Hanipa Maidin dari PAN serta Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim dari DAP.