• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Serangan fitnah PHBN hanya lonjak sokongan kepada Sanusi

Jul 17, 2023
Spread the love

Strategi politik fitnah yang digunakan Pakatan Harapan (PH)-UMNO terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya akan melonjak sokongan rakyat kepada Menteri Besar Kedah itu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad bin Yahaya menyifatkan PH-UMNO sudah habis modal politik sehingga mengerah seluruh barisan menteri kerajaan campuran menumpukan serangan terhadap Sanusi dengan pelbagai kempen fitnah.

“Satu demi satu fitnah yang cuba dihamburkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor direncanakan bagi menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

“Ironinya, situasi sebaliknya berlaku. Fitnah tersebut sedang menggali perkuburan PHBN dengan lebih dalam. Segala tohmahan dan fitnah yang ditujukan kepada kepimpinan Menteri Besar Kedah telah dijawab balas dan ia menggambarkan Menteri Madani tidak tahu selok belok pentadbiran.

“Seluruh Kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH-UMNO dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang Menteri Besar di sebuah negeri.

“Sangat tragis sekali apabila bukan sahaja perancangan mereka gagal bahkan sokongan kepada Sanusi pula semakin melonjak naik,” katanya dalam satu kerajaan.

Jelasnya, langkah menggunakan jentera kerajaan campuran seluruh menteri kerajaan campuran menyerang Sanusi membuktikan ‘poster boy’ PH-UMNO sudah hilang keyakinan dan tidak mampu melawan Sanusi lagi.

“PAS Kedah yakin PH-UMNO tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy’ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh Sanusi.

“PH-UMNOjuga semakin hilang keyakinan terhadap ‘poster boy’ mereka sehingga memaksa seluruh Menteri Madani turun beraksi di negeri Jelapang Padi ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, Sanusi menjadi bahan serangan dan sasaran kerajaan campuran PH-UMNO yang membuat tuduhan liar dengan pelbagai isu yang diragui fakta dan hanya mempunyai retorik politik.

Malah, keluarga Sanusi juga menjadi sasaran kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tular isu fitnah yang dilemparkan terhadapnya.