• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Seruan Rafizi boikot kedai makan tak bertanggungjawab kata Ismail Sabri

Jan 22, 2023
Spread the love

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas seruan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli supaya orang ramai memboikot restoran dan kedai makan yang mengenakan caj harga makanan yang mahal.

Menurut Mkini, Bekas Perdana Menteri kesembilan itu berkata seruan Menteri Ekonomi kerajaan PH-BN itu tidak bertanggungjawab.

Ismail Sabri berkata kerajaan sepatutnya berusaha untuk membantu pemilik restoran dan kedai makan mendapatkan bahan mentah dengan harga yang lebih murah.

“Saya lihat laporan media menyatakan kalau harga makanan meningkat, boikot kedai makan. Kalau harga bahan mentah meningkat, ayam dan sayur mahal, ikan mahal, pastinya peniaga restoran perlu naikkan harga.

“Kalau kita boikot peniaga, ia tak membantu mereka.

“Kerajaan (sebaliknya) perlu pastikan harga bahan mentah dapat diturunkan untuk bantu peniaga jual makanan dengan lebih murah dan rakyat dapat harga makanan yang lebih murah,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, hari ini (22 Januari 2023).

Katanya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menangani isu berbangkit dengan memikirkan cara untuk menurunkan harga barangan dan bukannya melepaskan tangan mahupun bertindak menghukum peniaga restoran.

Untuk rekod, Rafizi membuat seruan itu dengan mengambil kira harga bahan mentah yang menurutnya telah menurun di pasaran.

Sementara itu, Ismail Sabri mencabar individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu rakyat ketika beliau menjadi Perdana Menteri, supaya ‘muncul’ berbuat perkara sama terhadap pentadbiran kerajaan sekarang.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan siapa individu yang dimaksudnya.

“Mengenai (pengeluaran) KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), semalam, sewaktu saya sedang bersenam dan makan, ada mak cik datang dan mengadu pada saya minta kalau boleh mereka keluarkan KWSP.

“Dulu waktu (pentadbiran) saya, ramai yang bising bila kita membuat kajian, sama ada boleh dikeluarkan KWSP atau tidak. Akhirnya kita (benarkan) keluarkan.

“Ramai yang bising dulu. Saya harap rakyat bersuara kali ini minta untuk dikeluarkan KWSP. Mana-mana yang bersuara kuat semasa saya jadi Perdana Menteri dulu, silakan bersuara lagi,” katanya.