SHAH ALAM, 22 MAC 2023 – Penganjur dan pengurusan premis bagi persembahan Thai Hot Guy akur untuk membatalkan program tersebut selepas polis memberi amaran keras supaya program itu tidak diteruskan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata promosi berkaitan program itu telah menimbulkan reaksi yang tidak menyenangkan serta kecaman dripada seluruh lapisan masyarakat.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan pihak penganjur dan pengurusan premis tersebut pada jam 2.30 petang tadi.
Susulan amaran keras diberikan polis, pihak penganjur akur untuk membatalkan persembahan berkenaan.
Semakan pihaknya sehingga jam 4 petang tadi menunjukkan sejumlah 60 laporan polis telah diterima yang membantah penganjuran program itu.
Tambahnya, semalam pihaknya telah mengesan satu video tular mengenai penganjuran program yang akan dihadiri oleh kumpulan Thai hot Guy yang memaparkan imej tidak sopan dan bertentangan dengan norma masyarakat negara ini.
Program berkenaan dirancang diadakan di sebuah premis di Jalan Tun Razak, ibu negara pada 30 Mac ini.
Polis katanya akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.