• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Shah Alam dilanda banjir kilat

Aug 16, 2023
Spread the love

SHAH ALAM – Beberapa kawasan di Seksyen 13, di sini mengalami banjir kilat susulan hujan lebat sejak jam 3 petang Rabu.

Media sosial kini mula tular dengan pelbagai gambar dan video yang memaparkan kawasan yang dinaiki naik, termasuk sekitar Masjid Seksyen 13, Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Seorang pengguna Facebook, AdiNda Az turut berkongsi tiga gambar yang memaparkan situasi banjir dan turut kelihatan, beberapa kenderaan terperangkap kerana ditenggelami air.

Sebuah video berdurasi 23 saat turut dikongsi Mohd Shahrul Adzhar yang menunjukkan ada kenderaan yang turut terkandas susulan jalan ditenggelami air.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira antara jam 3.40 petang hingga 4.37 petang.

“Antara kawasan terlibat ialah laluan Jalan Persiaran Sukan serta laluan bulatan Stadium Shah Alam menghala bangunan Accapela.

“Selain itu, banjir kilat dilaporkan turut melanda di Jalan Surau Munawwarah sehingga persimpangan lampu isyarat di jalan tersebut, persimpangan lampu isyarat Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, laluan jalan berhampiran bangunan lama Management and Science University (MSU) serta laluan di Pangsapuri Perdana,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, keadaan bagaimanapun terkawal dan tiada jalan ditutup ekoran air difahamkan telah surut.

“Pemantauan dijalankan dari semasa ke semasa, orang ramai khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Situasi di kawasan terlibat banjir kilat ini dalam keadaan terkawal setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima panggilan berkaitan kejadian.

“Bagaimanapun pemantauan dijalankan dari semasa ke semasa dan anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan selepas ini,” katanya.

Pada Rabu, tular video banjir kilat di sekitar kawasan Seksyen 13 yang dimuat naik di media sosial oleh pengguna di lokasi kejadian.