Awang Hashim (PN-Pendang) berkata sikap pendendam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pendakwaan terpilih sewaktu pentadbirannya lebih teruk berbanding ketika pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Merujuk kepada pendakwaan SPRM terhadap Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta hari ini, Awang berkata ia merupakan satu permulaan daripada “permainan” Anwar.
“Kami (PN) sebagai pembangkang, ugutlah apa saja… segala tribulasi dan fitnah yang kami hadapi lebih teruk.
“Bagi saya, kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.
“Sifat balas dendam PM ini sangat kuat dan sangat pendendam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.