Pada 22-24 Mei ini satu majlis bersejarah bertajuk Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu bakal dilangsungkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Ia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, dan ditutup oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Simposium bersifat antarabangsa ini adalah anjuran Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama DBP, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Institut Peradaban Melayu (IPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Simposium ini merupakan maklum balas kepada pengumuman Perdana Menteri di dalam sidang Dewan Negara pada 23 Mac mengenai hasrat kerajaan untuk memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu.
Perdana Menteri menyebut bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihan yang tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN justeru beliau berkeyakinan bahawa suatu hari nanti bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN.
Seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam negara dengan antara lainnya meminda Akta DBP 1959 bagi memberikan lebih kuasa kepada DBP.
Komitmen Perdana Menteri dalam memartabatkan bahasa Melayu tertonjol bila beliau menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan-ucapan beliau bersempena lawatan-lawatan rasmi beliau ke Negara-Negara ASEAN malah Amerika Syarikat juga baru-baru ini.
Cadangan penganjuran simposium ini terhasil daripada perbincangan penulis dengan Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP merangkap Pengarah ATMA UKM, pada 27 Mac mengenai keperluan untuk mendapatkan maklum balas rakyat ke atas cetusan idea dan gagasan Perdana Menteri ini.
Berdasarkan pemerhatian kami, cetusan idea dan gagasan Perdana Menteri ini sebenarnya mendapat sokongan kuat daripada pelbagai lapisan rakyat, termasuk daripada kaum bukan Melayu. Ini terbukti daripada pernyataan sokongan berterusan daripada mereka yang dinyatakan secara rasmi mahupun tidak rasmi melalui pelbagai saluran.
Hanyasanya terdapat sebahagian kecil pihak, sesetengahnya tanpa berani mendedahkan nama, yang menyuarakan tentangan ke atasnya melalui media-media tertentu dengan cuba memberikan gambaran seolah-olah mereka mewakili golongan majoriti, walhalnya ia tidak begitu.
Ada yang membuat tohmahan liar bahawa cetusan idea dan gagasan ini kononnya dibuat kerana ketidakupayaan Perdana Menteri untuk berbahasa Inggeris dengan baik, walhal fakta sebenarnya tidak begitu kerana Perdana Menteri, seorang lulusan undang-undang, tidak mempunyai masalah sedemikian.
Sebaliknya, seperti yang sering dinyatakan oleh beliau, kita tidak perlu merasa malu ataupun kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa kerana kita perlu merasa bangga jika kita dapat memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu jati diri kita.
Apatah lagi bila usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa ini sebenarnya adalah selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.
Sebab itulah difikirkan amat perlu untuk dianjurkan satu forum sebagai wahana untuk semua golongan rakyat menzahirkan maklum balas mereka ke atas hasrat kerajaan untuk memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu ini.
Lebih penting lagi adalah untuk mendapatkan input daripada semua pemegang taruh, termasuk golongan intelektual, untuk mengenalpasti halangan-halangan yang ada untuk merealisasikan cetusan idea dan gagasan ini selain mengemukakan cadangan-cadangan untuk mengatasinya di dalam satu bentuk gerak-kerja yang lebih tersusun.
Tokoh penting di sebalik penganjuran simposium ini adalah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Dato’ Nor Nazimah Hashim, yang terus sahaja memberi sokongan penuh selain memberikan nasihat dan memandu perjalanannya sebaik sahaja cadangan mengenai penganjurannya disampaikan kepada beliau.
Begitu juga dengan Perdana Menteri sendiri yang telah turut menyokong penuh penganjuran simposium ini di mana beliau telah mencadangkan supaya dilibatkan sama tokoh-tokoh dari Negara-Negara ASEAN dan dari seluruh dunia serta diperluaskan lagi aktivitinya.
Akhirnya simposium ini berjaya menjadi satu simposium yang bersifat antarabangsa dengan penyertaan tokoh-tokoh bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari Amerika Syarikat, Russia, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, China, Korea Selatan, Uzbekistan, Azerbaijan, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Kampuchea dan Filipina.
Atas kerja keras pihak penganjur, ramai tokoh-tokoh besar dari dalam negara dan dari luar negara melibatkan diri dalam simposium tiga hari yang meliputi 3 penyampai Ucap Utama, 60 pembentang kertas kerja di dalam 15 Sidang serta 12 panelis di dalam 2 Forum.
Tiga Ucap Utama adalah bertajuk “Martabat Bahasa Kebangsaan”, “Strategi Mengangkat Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi ASEAN” dan “Pelan Tindakan Strategik Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”.
15 Sidang pula masing-masingnya menangani isu-isu yang berbeza. Antaranya ialah “Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21”, “Bahasa Melayu dalam Pelbagai Bidang Pendidikan”, “Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang” dan “Bahasa Melayu dan Ekonomi”.
Seterusnya ialah “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Diplomasi”, “Bahasa Melayu sebagai bahasa Supranasional dan Diaspora bahasa Melayu”, “Bahasa Melayu di Forum Antarabangsa”, “Bahasa Melayu Tunjang Peradaban Bangsa” dan “Bahasa Melayu dan Pembinaan Negara”.
Ia diikuti oleh “Pengembangan Bahasa Melayu Melalui Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi”, “Bahasa Melayu dan Pengurusan”, “Pengajian Melayu Antarabangsa”, “Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Peningkatan Bahasa Melayu”, “Bahasa Melayu Pelestarian Kearifan Setempat” dan “Gagasan Bahasa Melayu: Dari Negara ke Serantau dan Antarabangsa”.
Program lain ialah Forum bertajuk Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Forum bertajuk Bahasa Melayu Menuju Globalisasi, Mesyuarat Meja Bulat Wakil-wakil ASEAN untuk Program Pengembangan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi Negara-negara ASEAN, pameran, sayembara dan debat.
Tahniah diucapkan kepada seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di samping semua pihak lain yang bertungkus-lumus membuat persiapan atau membantu menjayakan simposium dalam waktu yang singkat, iaitu sejak mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Induk Simposium dilangsungkan pada 31 Mac.
Semoga simposium ini akan mampu menjadi satu titik penting dalam sejarah negara.
Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu