• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

SKMM setuju Celcom-Digi bergabung

Jun 30, 2022 ,
Spread the love

SHAH ALAM, 30 JUN 2022 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan notis tiada bantahan terhadap cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd, melibatkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Celcom selaku pemohon.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan penggabungan itu akan menjadikannya sebagai pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar di Malaysia.

“Digi dan Celcom adalah pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar masa kini dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar di Malaysia.

“Oleh demikian, SKMM telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Pada 1 April 2022, SKMM mengeluarkan pernyataan isu kepada pemohon, selaras Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara bagi sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti.

Justeru, menurut SKMM, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang diketengahkan oleh SKMM dalam pernyataan isu.

SKMM telah mempertimbang komitmen ditawarkan pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini.

Pada 8 April 2021, Axiata dan Telenor Group mengumumkan dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.

Axiata Group Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.