• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Solidariti untuk Sanusi hanya dengan solat hajat, doa

Jul 18, 2023
Spread the love

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak memerlukan solidariti ke jalan raya kerana solidariti kepada beliau berada dalam hati sanubari rakyat di seluruh negara.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyeru seluruh pendukung dan penyokong serta rakyat Malaysia untuk mendoakan agar Sanusi diberi kekuatan dalam mengharungi ujian ini.

“Sesiapapun yang mengikuti ucapan dibuat Sanusi pasti mendapati tiada penghinaan seperti dituduhkan kepadanya di mana dikatakan. Bagaimanapun kerana perkara ini telah dibawa ke mahkamah, maka kita hormati proses itu.

“Kita tidak mengarahkan mana-mana ahli Pemuda PAS atau ahli-ahli PAS untuk berkumpul di mahkamah bagi mengelakkan sebarang ruang tercetus provokasi menjelang PRN ini.

“Sanusi tidak perlukan untuk rakyat diheret ke jalan raya bagi tunjukkan solidariti kerana solidariti kepada beliau lahir dari lubuk hati rakyat di seluruh negara. Beliau tidak sebagaimana pemimpin tertentu yang pernah berbuat demikian.

“Kerana kekuatan Sanusi merupakan keupayaan semulajadi yang lahir dari hati yang ikhlas untuk rakyat. Semoga Allah beri kekuatan kepada beliau. Saya yakin apa yang berlaku hari ini adalah ketakutan kerajaan yang paranoid pada kebangkitan rakyat,” ujarnya.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam pada itu menyifatkan tindakan ke atas Sanusi sebagai perkara yang sangat menyedihkan bagi seluruh rakyat.

“Nampak kerajaan sekarang (bersikap) ‘double standard’. Kita harap ahli PAS dan Perikatan Nasional bertenang. Dalam keadaan ini banyakkan solat hajat mudah-mudahan apa berlaku ini akan jadi isyarat kejatuhan Perdana Menteri yang ada sekarang,” ujarnya.

Dewan Ulamak PAS Pusat pula telah mengadakan sebaran meminta seluruh pendukung dan penyokong untuk melaksanakan solat hajat bagi tujuan tersebut. – HARAKAHDAILY 18/7/2023