• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Strategi ‘jaja’ Nik Abduh calon MB Kelantan langkah terdesak PH

May 15, 2023
Spread the love

PAKATAN Harapan (PH) kini semakin terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi untuk meraih kepercayaan rakyat setelah gelombang penolakan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Nadzir Helmi, berkata keadaan itu dapat dilihat melalui pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

Menurutnya, gambar pertemuan Pengerusi PH bersama kedua anak bekas Mursyidul Am Pas berkenaan iaitu Nik Abduh dan Nik Omar sempena dengan ‘jelajah’ PH ke negeri-negeri yang bakal mengadakan PRN kini giat ‘dijaja’ pendokong media PH.

“Gambar pertemuan itu dijaja oleh ramai penyebar dan pendokong media PH sebagai langkah ingin membawa tokoh Pas itu sebagai calon Menteri Besar Kelantan pada PRN nanti.

“Sebagai strategi untuk bertembung dengan gelombang besar Pas yang telah memenangi kesemua kerusi Parlimen Negeri Kelantan 14-0 pada PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda PN melihat keadaan itu adalah gambaran sebenar bagaimana seorang pemimpin parti yang langsung tidak mempunyai perancangan khusus untuk mentadbir sebuah negeri yang begitu kukuh bertapak setelah sekian lama oleh pentadbiran Pas.

“Begitulah terdesaknya PH setelah gelombang penolakan rakyat kian meresahi mereka akibat daripada kelemahan urus tadbir negara yang kian meruncing apabila harga barang, kos hidup, dan kegagalan janji-janji semasa menjadi pembangkang kian terserlah.

“Inilah sebuah pembohongan yang konsisten sehingga terpaksa mengambil langkah-langkah populis dengan menunggang nama keluarga Allahyarham Nik Aziz bagi menutup pembohongan berterusan ini,” katanya.

Menurutnya, setelah media PH mengambil langkah menamakan Menteri Besar Kelantan daripada keluarga Allahyarham Nik Aziz, Perdana Menteri telah mengumumkan untuk ‘mencari dana’ bagi menyelesaikan kemelut bekalan air di Kelantan yang telah dikhianati kerajaan pusat setelah sekian lama.

“Sekali lagi, inilah isyarat betapa hinanya Kelantan bagi mata pemimpin PH berbanding dengan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang secara mudah mengumumkan angka bantuan tanpa ada usaha ‘mencari’ tapi terus ‘memberi’.

“Pemuda PN menyeru supaya rakyat terus berjaga-jaga dengan sikap ‘scam’ dan penipuan konsisten daripada pemimpin yang suka berbohong tanpa rasa bersalah,” katanya.

Beliau berkata, negeri Kelantan yang ditadbir oleh Pas selama ini telah melaksanakan amanah memimpin dengan begitu cemerlang walaupun pelbagai hak dan peruntukan dinafikan saban tahun.

“Kelantan perlu terus dipertahankan sebagai isyarat betapa rakyat menolak pemimpin yang suka berbohong demi kelangsungan kuasa yang gagal dilaksanakan sehingga memangsakan rakyat Malaysia,” katanya.