*Suara PAS kini di Dun Sabah*
Oleh: Dr. Nabila Din
PARTI Islam Semalaysia (PAS) Sabah berjaya melebarkan sayap dakwah ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mulai 8 Oktober 2020 baru-baru ini. Pada tarikh tersebut, Dr. Aliakbar Gulasan, seorang profesional aka lebai muda yang boleh berkuliah agama telah mengangkat sumpah sebagai ahli DUN dilantik, juga muncul pemimpin pertama dalam lakaran sejarah PAS Sabah.
Kejayaan ini hasil kebijaksanaan Presiden dan kepimpinan PAS di samping wala’ ahli parti untuk tidak bertanding dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu. Keputusan penuh sabar dan ‘merendah diri’ ini berjaya tidak menambah penjuru dalam pertarungan tersebut yang disulami serangan pandemik Covid-19. Akhirnya, kemenangan diberikan kepada parti Gabungan Rakyat Sabah (GPS) – juga dengan bantuan jentera pilihanraya PAS – yang kemudian diangkat sebagai kerajaan baharu.
PAS Sabah sudah lama bermain di padang politik Borneo Utara. Walaupun dicatatkan penubuhannya 34 tahun lalu, iaitu pada tahun 1986, namun rekod sejarah menunjukkan PAS Sabah telah wujud sejak tahun 1964 seiring dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
PAS Sabah wujud awal melalui penubuhan penaja Persatuan Islam Seluruh Sabah pimpinan Syed Omar al-Saqqaf, seorang tokoh perniagaan Sandakan pada Ogos 1964. Cawangan pertamanya berjaya ditubuhkan di situ pada 10 November 1964 dan seminggu kemudian diumumkan oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang juga wakil rakyat Bachok ketika lawatan Ahli-ahli Parlimen PAS ke Sabah.
Namun, pergerakan PAS Sabah kemudian menjadi lemah dengan pelbagai peristiwa politik negeri dan negara ketika itu. Yang di-Pertua Negeri pertama, Tun Datu Mustapha Datu Harun meletak jawatan pada 16 September 1965 dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memenangi PRN 1967 pada 27 April 1967 lalu dilantik sebagai Ketua Menteri.
Selain memperkasakan Islam dalam kerajaan, Datu Mustapha turut mengasaskan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) pada 10 Oktober 1969 dan menjadi Yang Dipertua Agung pertamanya untuk mengerakkan dakwah di seluruh Sabah. Susulan perkembangan tersebut dan peristiwa 13 Mei di Semenanjung, ramai pendukung PAS Sabah menyertai USIA termasuklah Syed Omar bagi mengembangkan Islam, lantas memberi kesan dengan lumpuhnya gerakan PAS Sabah selepas itu.
Namun, PAS Sabah dihidupkan kembali pada malam 19 Mei 1986 dirasmikan oleh Tuan Guru Hj. Yusuf Rawa, Yang Dipertua Agung PAS dan dihadiri lebih kurang 100 penyokong. PAS Sabah setelah itu diputuskan dipimpin oleh Hamzah Abdullah selaku Pesuruhjaya (PJ) pertama hinggalah tahun 1989. PAS Sabah kemudian dipimpin oleh Hj. Mohamad Abdullah (1989-2001) dan Dr. Datu Bandira Datu Alang (2001-2004).
Selepas Dr. Datu Bandira meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, amanah PJ disandang kembali oleh Hj. Mohamad Abdullah sebelum berpindah kepada Hj. Mohd Aminuddin Aling pada 2011 hinggalah kini. Data terkini menunjukkan PAS sudah berjaya melata di semua Parlimen di Sabah, iaitu mempunyai 20 kawasan berdaftar dan lima kawasan penaja.
Gerakan PAS pada peringkat awal pasca 1986 tertumpu di kawasan bandar Bumiputera Islam, khususnya di Pulau Gaya Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Kota Belud. Ketika itu, PAS digerak kuat oleh guru-guru Semenanjung yang dihantar atau ditukar pindah ke Sabah. Mereka inilah yang menyemarakkan gerakan dakwah dan tarbiah, terutama majlis ilmu dan usrah dalam kalangan pemuda-pemuda. Nama yang perlu diberi penghargaan (sekadar menyebut beberapa nama), antaranya Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Cikgu Alias Tijad, Cikgu Zainuddin Awang Hamat, Ustaz Harun Haya, Cikgu Saifuddin Ahmad, Cikgu Hamzah Yusuf, Cikgu Hassan Aladi, Ustaz Anuar Ali dan ramai lagi.
Penubuhan pusat pendidikan Islam turut membantu pengembangan PAS Sabah. Semuanya digerakkan dengan wakaf tenaga, harta dan wang ringgit demi melihat kesinambungan Islam di situ. Antara wakaf tanah terawal adalah daripada keluarga mualaf Aling Pilang dan anaknya, Mohd Aminuddin yang kini adalah PJ PAS Sabah. Tanah di Kampung Bugaron, Rosok, Kota Belud sebanyak enam ekar diwakafkan oleh mereka pada 30 Julai 1991 dan kemudian didirikan pondok pengajian Islam dan tahfiz yang dinamakan Pusat Pendidikan Islam Fi Dhilal al-Qur’an.
Selain itu, penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah Dewan Pemuda PAS juga banyak membantu menggerakkan ilmu Islam di akar umbi. Malah, pendaftaran anak-anak masyarakat bukan Islam juga sudah menjadi perkara biasa di PASTI Sabah. Selain itu, terdapat berpuluh-puluh sekolah tadika dan sekolah rendah Islam serta tahfiz yang dikelola oleh pimpinan PAS di seluruh Sabah.
Kejayaan tarbiah dan pendidikan PAS telah memikat hati ramai penduduk Sabah termasuklah golongan profesional. Antara mereka ialah Dr. Aliakbar Gulasan, kini berusia 49 tahun yang dilantik sebagai ADUN lantikan. Kebetulan penulis mempunyai pengalaman bersama dengan Dr. Aliakbar sekitar tahun 2002 ketika beliau bertugas di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Berbincang dengan beliau, dapat diketahui fikrah dan visi Islamnya yang jelas untuk membantu masyarakat dan negeri Sabah.
Wawancara Utusan Borneo menyebutkan beliau anak keempat daripada lapan adik beradik, lahir di Kampung Kota Ayangan, Keningau dan kemudian menetap di Tenom. Anak jati Sabah ini bersekolah di situ, kemudian melanjutkan pelajaran hingga lulus Ijazah Sarjana Muda Pengajian Geografi daripada Universiti Malaya, Sarjana Pengurusan Alam Sekitar dan Doktor Falsafah (PhD) Geografi Bandar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum ditawarkan sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS sejak November 1996.
Dr. Aliakbar juga seorang yang cintakan ilmu dan pendidikan. Terdidik dengan bapanya seorang imam kampung, beliau turut berkemampuan memberi kuliah agama dan khutbah di masjid. Malah, beliau juga mempunyai tauliah bagi tujuan tersebut daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Beliau kini masih menjadi Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sekolah Rendak Islam al-Hafidz, Bandar Sierra dan Penasihat kepada beberapa buah PASTI di Kota Kinabalu.
Setelah penubuhan kerajaan baharu Perikatan Nasional, beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Koko Negara sejak 1 Julai 2020 – kebetulan ibu pejabatnya di Kota Kinabalu. Perlantikan ini sangat sesuai dengan beliau. Untuk rekod, hidupnya sejak kecil memang membesar darah daging sebagai anak tani desa, khasnya penanaman koko dan getah yang diusahakan secara integrasi oleh keluarganya sendiri.
Sejak dilantik, beliau bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi banyak memberi penekanan kepada usaha peningkatan aktiviti hiliran, termasuk produktiviti biji koko bagi menambah sumber pendapatan negara.
Kecekapan pentadbiran beliau dibantu dengan bakat kepimpinan yang diasuh sejak kecil. Beliau pernah menjadi pengerusi pelajar Islam di sekolah dan bertanding dalam pilihanraya kampus semasa di universiti. Dalam PAS, beliau kini ialah Setiausaha PAS Sabah dan pernah dilantik Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Sesi 2015-2017 serta Timbalan Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar & Hal Ehwal Orang Asal.
Bak lirik lagu PAS, inilah hasil tuaian PAS Sabah setelah puluhan tahun berkorban dengan harta dan segenap kepunyaan. Mereka bergerak ke gerbang jasa dengan niat kerana Allah Taala, kalah menang bukan alasannya. Mudah-mudahan perlantikan Dr. Aliakbar membawa suara PAS memberi manfaat kepada Islam dan anak bumi Sabah.