• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Subsidi ayam tamat 1 November ini kata Mat Sabu

Oct 30, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR – Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, kerajaan bersetuju agar subsidi dan kawalan harga bagi ayam akan ditamatkan sepenuhnya bermula pada 1 November ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Menurutnya, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam.

”Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana ketika ini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini pada Isnin.

Tambahnya, melalui kaedah ini kerajaan akan turut dapat meningkatkan pelbagai inisiatif sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.

“Penamatan subsidi ayam ini mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling,” ujarnya.

Dalam hal ini katanya, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah.