• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Sudah tiada tenaga pakar anak tempatan di negara kita?” Tanya Razman

Jan 23, 2023
Spread the love

SUDAH TIADAKAH TENAGA PAKAR DALAM KALANGAN ANAK TEMPATAN DI NEGARA KITA INI?

Kenyataan beberapa orang Menteri daripada kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan pada hari ini, seolah-olah telah hilang pertimbangan dan menidakkan kemampuan dan kepakaran anak tempatan bagi memajukan sektor perumahan dan pertanian. Ia seharusnya didahulukan dan diberikan ruang yang luas untuk berjasa kepada tanah air tercinta.

Malaysia kini berada dalam fasa ke arah negara maju, negara ini telah mempunyai ramai tenaga pakar di dalam semua sektor yang seharusnya diangkat, namun tenaga luar pula diutamakan.

Langkah untuk membawa tenaga rujuk daripada luar pada zahirnya nampak baik, tetapi berkemungkinan mempunyai agenda tersirat dalam mengawal selia antara sektor yang amat penting melibatkan urusan perumahan khususnya dalam urusan mengatur penempatan serta polisi-polisi yang bakal dibuat nanti. Ia sudah pasti mendatangkan masalah kepada orang Melayu yang telahpun berlaku di banyak kampung melayu.1

Kepakaran rakyat Malaysia telah membuka mata dunia dan menjadi pakar rujuk negara lain dan telah diiktiraf hasil daripada kejayaan mereka dalam sektor cari gali minyak PETRONAS, arkitek ulung negara dalam merekabentuk Menara Jam Mekah, serta anak Sarawak yang terlibat secara langsung dalam projek mega pembesaran Masjidilharam di Mekah.2

Keindahan dan keunikan Putrajaya sebagai bandar tanpa wayar berkonsepkan bandar dalam taman telah menjadi mercu tanda gemilang buat Malaysia. Keseluruhan projek telah direka dan dibina oleh syarikat Malaysia dengan hanya 10% daripada bahan-bahan yang diimport.

Dalam sektor pertanian, urusan R&D ini serah saja pada MARDI, SIRIM, MPC, FELCRA, FELDA DAN RISDA atau mana-mana institusi yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam membangun sektor teknologi pertanian secara menyeluruh di negara ini, usahalah reformasi yang bermula daripada dalam bukan mengharapkan tenaga daripada luar yang bukan menjadi keutamaan.

Hal ini juga boleh menyumbang kepada aliran wang keluar yang menjadikan nilai Ringgit Malaysia makin kecil apabila berlaku sebarang transaksi kepada negara luar.

Kerajaan juga seharusnya membawa peranan untuk memperkasa institusi kajian dan penyelidikan di negara ini dengan lebih meluas dengan melibatkan tenaga pakar yang terdiri daripada individu, NGO, syarikat tempatan, ahli akademik serta memperbanyakkan libat urus bersama para peladang, penternak dan nelayan bagi mengetahui punca dan cadangan solusi yang seterusnya digarap dan disatukan menjadu sebuah dasar yang membumi serta jauh lebih memberikan impak secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Perkara ini juga mendatangkan bahaya kepada sistem Pendidikan negara pada masa depan yang tidak disedari apabila kerajaan pada hari ini seolah-olah tidak mampu melahirkan modal insan yang diperlukan negara.

Secara tuntas, negara perlu dibawa ke arah memajukan sosioekonomi melalui tenaga pakar daripada orang tempatan, rakyat Malaysia sebilangan besar menantikan detik dan peluang menabur bakti semula pada negara yang tercinta ini.

Jadilah KERAJAAN YANG CAKNA KEPADA POTENSI RAKYAT.

Razman Zakaria


Rujuk

  1. Baca dan menelaaah apa yang berlaku di Singapura ini : https://fokus.my/melayu-eksotik-di-geylang-serai-singapura/
  2. Sila rujuk : https://says.com/my/seismik/rakyat-malaysia-adalah-hero-di-sebalik-struktur-menara-jam-mekah