• Tue. Sep 26th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Sultan zahir dukacita baca komen keterlaluan di media sosial

Oct 7, 2022
Spread the love

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa baginda apabila membaca komen-komen keterlaluan dalam kalangan netizen di media sosial, yang mengeluarkan ayat-ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki.

Sultan Sharafuddin bertitah lebih mengecewakan apabila ayat-ayat penghinaan itu pula disokong oleh netizen yang lain tanpa usul periksa dan jika tidak dibendung dan ditangani dengan bijak dari semasa ke semasa, ia dikhuatiri akan merosakkan pemikiran masyarakat khususnya generasi muda.

“Sejak kebelakangan ini, kemunculan gejala fitnah-fitnah dan berita-berita palsu yang semakin berleluasa telah menyebabkan ketegangan di antara kumpulan-kumpulan tertentu dalam masyarakat kita.

“Beta tidak mahu gejala-gejala seumpama ini terus menular sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kekuatan perpaduan untuk jangka masa panjang,” titah baginda ketika majlis pelancaran Masjid Diraja Masjid Raja Lumu.

Sultan Selangor turut menekankan perpaduan dalam kalangan orang Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan generasi yang akan datang kerana umat yang berpecah akan membawa kehancuran kepada negara.

Justeru, Sultan Selangor dalam titahnya menyeru seluruh orang Melayu untuk terus merapatkan saf, bersatu-padu, melupakan segala sengketa dan perselisihan faham serta mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi satu bangsa yang kuat, bermaruah dan bermatlamat, demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Beta mahu semua rakyat beta dapat hidup di negeri beta dalam keadaan selesa, bersatu-padu, harmoni dan menikmati kekayaan negeri ini secara adil dan saksama,” titah baginda.