Kementerian Kewangan (MOF) menafikan memberi kelulusan kepada operator perjudian berlesen untuk kembali beroperasi bermula hari ini seperti yang didakwa melalui satu surat yang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Pasukan Respons Pantas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), MOF menjelaskan tiada sebarang surat dikeluarkan berhubung kelulusan seperti didakwa melalui surat bertarikh 25 Jun 2021.
“MOF menafikan pihaknya memberi kelulusan kepada operator perjudian berlesen untuk mula beroperasi pada 30 Jun 2021 seperti surat yang telah disunting yang tular di aplikasi WhatsApp.
“Pihak MOF tidak mengeluarkan surat berkenaan sebaliknya semua operator perjudian berlesen telah diarahkan untuk tutup operasi sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak,” menurut kenyataan itu.