• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Syarikat MNC Jerman berminat melabur di Kedah

Jun 15, 2023
Spread the love

ALOR SETAR – Kedah akan menjadi lokasi penting apabila syarikat multinasional (MNC) dari Jerman berminat untuk melabur di negeri itu.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian selepas bertemu syarikat tersebut dua hari lalu di Jerman.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan yang bakal dilaburkan akan diumumkan sendiri oleh syarikat tersebut.

“Ada yang kata pelaburan yang masuk ke Kedah ini kerja Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ianya kurang tepat kerana MIDA adalah agensi persekutuan dan mempromosikan Malaysia bukan negeri,” ujar Sanusi dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Khemah, Meja dan Kerusi kepada MKK di bawah program Sejahtera Komuniti Tahun 2023 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Jelasnya, syarikat-syarikat itu memilih untuk melabur di negeri Kedah kerana tertarik pada promosi-promosi yang dilaksanakan oleh Kedah.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan bahawa Kedah mempunyai kumpulan pemasaran yang cekap di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan Invest Kedah untuk menarik para pelabur.

Kata Muhammad Sanusi, pihak kerajaan akan mencari tapak yang sesuai untuk syarikat itu melabur dan kemungkinan adalah di kawasan KHTP.

“Jika pelabur tidak dapat masuk kerana ada masalah dengan tapak, bukan Kedah sahaja yang rugi tetapi Persekutuan turut rugi kerana hasil cukai import eksport diperoleh kepada pihak Persekutuan,” jelas Menteri Besar.