• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Syed Saddiq bantah arahan JAIS larang umat Islam sertai program rumah ibadat lain

Mar 17, 2023
Spread the love

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan program dan usaha untuk menyemarakkan lagi keharmonian dan kesefahaman antara rakyat seharusnya disambut dengan baik semua pihak di semua peringkat.

Justeru, Ahli Parlimen Muar itu tidak bersetuju dengan peraturan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain.

Beliau berkata, Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat yang majmuk, berbilang bangsa dan agama.

Katanya, selama ini ahli MUDA yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tidak pernah mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam program kemasyarakatan yang diadakan.

“Ahli MUDA tidak kira apa agama atau bangsa sama-sama membersihkan masjid, tokong, kuil, gereja, gurdwara dan lain-lain tempat ibadah ketika kerja-kerja pembersihan banjir.

“Saya yakin untuk yang beragama Islam, iman mereka sedikit pun tidak terjejas sehingga hendak menukar agama,” katanya dalam kenyataan.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau telah banyak kali melawat rumah ibadah penganut agama lain, serta tidak pernah melihat ada agenda untuk menjejaskan agama Islam di negara ini.

“Saya dijemput kerana saya mewakili rakyat saya tanpa perlu peduli apa agama mereka, apa bangsa mereka, dan apa fahaman politik mereka. Kebajikan mereka adalah tanggungjawab saya.

“Justeru itu, saya ingin bertanyakan adakah enakmen ini akan dipakai kepada pemimpin-pemimpin besar negara juga sekiranya mereka melawat ke rumah-rumah ibadah ini?

“Malaysia teguh kerana perpaduan dan dengan perpaduan ini datangnya kemakmuran,” katanya.

Justeru, sebagai Presiden MUDA, beliau menyeru lebih daripada 100,000 ahli MUDA untuk melawat mana-mana rumah ibadah.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sebarang program membabitkan umat Islam dilarang diadakan di rumah ibadat agama lain selain masjid dan surau.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran program berbentuk kefahaman dan nilai toleransi antara agama, namun perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Usaha tersebut (program toleransi antara agama) disambut baik oleh kerajaan negeri, namun program-program yang dianjurkan haruslah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan Jais terutamanya membabitkan faktor perundangan.

“Pihak JAIS sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan digariskan di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988,” katanya.