• Sat. Oct 8th, 2022

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ta’awun bersama UMNO bukan terhegeh tapi tuntutan Al-Quran – Razman

Sep 14, 2022
Spread the love

BAGAN SERAI, 13/09/2022 – Bukan terhegeh-hegeh tetapi melaksanakan apa yang dituntut oleh Al-Quran. Demikian respon Pesuruhjaya PAS Perak YB Tuan Haji Razman Zakaria ketika mengulas keputusan parti itu yang terus menganggap UMNO sebagai rakan ta’awun sekalipun ditolak oleh UMNO untuk bekerjasama dalam PRU akan datang.

“Kita tak terhegeh-hegeh. Kita konsisten daripada dulu lagi kita membawa Quran dan Hadis menjadi pedoman kita. Jadi ada dalam al-quran (baca ayat Quran) arahan supaya bertolong tolong dalam perkara kebajikan dan perkara yang mengajak ketakwaan. Dan jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.

“Jadi kita terpaksa juga mengajak UMNO kepada ketaqwaan. Dan kita juga semasa awal dulu kita sama-sama membaca ayat Quran yang mengajak supaya berpegang teguh dengan tali Allah, dengan al-quran, maka janganlah kamu berpecah belah.

“Jadi kalau tiba-tiba PAS tak mengajak kepada (perpaduan ummah) bererti PAS tidak mengikut Al-Quran. Jadi (apa yang diputuskan) PAS jelas mengikut al-quran” katanya.

Beliau berkata demikian sebaik selesai program sumbangan pek makanan asas kepada asnaf sekitar Lembah Beriah yang diadakan di dewan orang ramai pada Selasa.

Tambahnya lagi soal saranan diterima atau tidak satu perkara lain, namun mengajak kepada kebaikan merupakan satu tugas wajib sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dahulu.

“Begitu juga zaman nabi s.a.w. walaupun orang menentang dengan pelbagai ujian dan cercaan, dia (nabi Muhammad) tetap terus berdakwah dan mengajak. Diterima atau tidak itu soal dia. Tugas kita akan terus mengajak. Itu yang kita minta supaya rakyat boleh menilai kesucian perjuangan PAS.

“Sebab itu nak bagi tahu PAS bukan tamak kuasa. Kalau kita tamak kuasa, (dulu) kita tengok mood rakyat pada pru-14, (hampir) semua rakyat menolak BN, dan PH pada masa itu mengajak PAS untuk bersama.

“Tetapi PAS tidak mahu bersama. Kerana bukan kuasa semata-mata yang kita fikir. Tetapi mudarat DAP itu kita nampak lebih awal”, tambahnya lagi sambil menyeru agar rakyat memahami perkara sebenar yang menjadi pegangan dalam perjuangan PAS.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa PAS terus konsisten dengan pendirian membina sebuah pentadbiran yang berintegriti dengan menolak mereka yang terpalit dengan isu-isu rasuah yang disifatkannya sebagai ‘kluster mahkamah’ dalam UMNO.