• Tue. Sep 26th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Tak tanding PRN, Razman cadang MCA, MIC sertai PN

Jul 6, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 6 JULAI 2023 – Susulan MCA dan MIC tidak bertanding dalam PRN enam negeri pada kali ini, Pesuruhjaya PAS Perak YB Tuan Haji Razman Zakaria mengesyorkan pimpinan parti tersebut agar bertemu pimpinan PERIKATAN NASIONAL untuk bersama-sama meneruskan usaha dan cita-cita membina negara yang lebih sejahtera.

Menurutnya, satu prinsip atau formula yang pasti menjadi tunjang kepada kesejahteraan adalah apabila negara diperintah dan diketuai oleh kaum majoriti bersama dengan kaum-kaum lain yang tidak ekstrem.

“Kalau MCA dan MIC sudah tidak berasa (dibenarkan) mewakili lagi kaum Cina dan kaum India, Pak Teh (Razman) cadangkan mereka bolehlah berjumpa dengan pucuk pimpinan PERIKATAN NASIONAL untuk membolehkan (bersama).

“Sebab mereka ini bagus. Kaum-kaum (parti) yang tidak ekstrem untuk bersama-sama dengan kita dan kita membina semula negara kita ini dengan lebih aman.

“Sebab kena pegang satu prinsip bahawasanya negara Malaysia ini mesti diperintah oleh kaum yang majoriti yang beragama islam.

“Jadi kalau Pakatan harapan ni semua orang tahu bahawa mereka ini dikuasai oleh DAP. Jadi bila dikuasai oleh DAP, maka dia walaupun di depannya itu kita lihat ada orang Melayu tetapi Melayu ini membuat keputusan berdasarkan kepada kehendak dan persetujuan DAP .

“Maka kita rasa lebih baik sekiranya MIC dan MCA berunding dengan pucuk pimpinan untuk kita mendapat sekurang-kurangnya 20 atau 30 peratus daripada pengundi-pengundi Cina (dan India).

“Maka kita boleh mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik dalam negara kita ini dan elakkan ketegangan di antara kaum dan kita bina semula Integrasi national yang diwar-warkan oleh kerajaan. Supaya ada persefahaman di antara kaum-kaum yang tinggal dalam negara kita ini”, ujarnya mengulas isu PRN 6 negeri yang tidak disertai calon bertanding dari MCA dan MIC.

Beliau berkata demikian sewaktu program penyerahan 50 kotak makanan kepada Asnaf sekitar DUN Gunung Semanggol di pejabatnya pagi tadi.

Terdahulu beliau turut menyerahkan lebih 50 bungkusan pek makanan kepada asnaf dari dua kampung iaitu Kampung Parit Haji Taib 1 dan Kampung Parit Haji Taib 3. Turut hadir NYDP PAS kawasan Ustaz Sukri Khaidir dan Setiausaha Sdr. Mohd Fitri Jelani.