• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Tarik subsidi ayam: Kerajaan mengaku kalah terhadap ‘orang tengah’?

Spread the love

Hari ini secara rasminya kerajaan menarik balik subsidi ayam.

Sejarah ringkas, subsidi ayam ni telah diperkenalkan pada 2022 sebagai salah satu langkah Jihad Melawan Inflasi. Harga ayam berada dalam kawalan kerajaan.

Hari ini harga ayam diletakkan dalam kadar apungan. Ini bermakna kenaikan mendadak boleh berlaku pada bila-bila masa dengan harga tidak menentu. Atau istilah ringkasnya ‘volatile’.

Isu terbesarnya adalah kita masih bergantung banyak kepada dedak ayam yang diimport. Dedak sahaja menyumbang kepada 70 peratus kos ternakan.

Setiausaha Persatuan Penternak Ayam Kedah melaporkan kos menternak ayam semakin meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu termasuk kos upah, ubat dan elektrik.

Dulu harga sekampit dedak ayam untuk 50 kilogram hanya RM85, hari ini mencecah RM135 sekampit.

Jadi ada pengeluar yang terpaksa kurangkan hasil ternakan. Jika hari ini penternak boleh hasilkan 6 pusingan setahun mungkin selepas ini akan tinggal 4 pusingan sahaja.

Dan hari ini juga nilai ringgit masih belum membaik, rata-rata rakyat masih terasa kesan harga barang yang tinggi, isu kartel-kartel belum lagi selesai.

Semua ini tidak boleh dibiarkan sepi, kemudian diitarik subsidi yang sangat membantu rakyat saat ini tanpa digantikan dengan insentif yang sepadan.

Kerajaan pula salahkan orang tengah yang dikatakan mengambil kesempatan sehingga subsidi tidak sampai ke peniaga runcit. Adakah dengan menarik balik subsidi ini bermaksud kerajaan mengaku kalah kepada orang tengah?

Apa jaminan kerajaan penjimatan yang dilakukan dengan menghapuskan subsidi ayam ini dapat dikembalikan hasilnya kepada rakyat?

Jika harga ayam naik mendadak sekali gus pula katanya kerajaan akan mempertimbangkan subsidi bersasar.

Berkali-kali subsidi bersasar ini disebut. Menteri berjanji untuk kaedah terperincinya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024.

Sampai ke sudah, tidak ada. Banyak pakar yang membincangkan tentang ketidaknampakan kaedah itu dalam belanjawan seperti dijanjikan malah terus didiamkan.

Sebenarnya rakyat rindu pemimpin hari ini yang dahulunya menjadi pembangkang boleh buat-buat tidak tahu membaca data-data ekonomi.

Kalau ringgit jatuh, salahkan sahaja kerajaan.
Kalau harga barang naik, lagilah salah kerajaan.
KDNK menurun, kerajaan tak buat kerja.

“Najib Razak anti-subsidi? Patutlah harga barang naik” – ini kata seorang pakar yang sudah menjadi menteri hari ini.

Mereka tidak sebut istilah-istilah seperti inflasi menyederhana, faktor global dan sebagainya.

Namun hari ini, mereka sudah belajar menafikan kesengsaraan rakyat dengan data-data kuantitif yang tidak menceritakan sepenuhnya situasi sebenar rakyat bawahan.

Cerita-cerita rakyat umumnya berbentuk data-data kualitatif yang sepatutnya layak mendapat perhatian kerajaan juga.

Selain kerajan ingin memfokuskan penjimatan di pihak kerajaan, jangan dilupakan kitaran ekonomi negara yang baik juga disumbangkan oleh kemampuaan kuasa beli oleh rakyat.

Terngiang-ngiang nasihat seorang Menteri yang pernah melarang rakyat makan ayam kalau ayam mahal.

Kalau sebut soal punca kedengaran bijak sangat bunyinya dengan menyalahkan inflasi dan sebagainya, bila rakyat minta penyelesaian sangat tidak akademik butir bicaranya.

Sekian.

YB USTAZ AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan PAS

1 November 2023