PUTRAJAYA: DAP dilihat menggunakan diplomasi politik untuk terus mendesak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada masa ini.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, penyokong parti itu sedar akan keperluan politik semasa dan menunggu waktu sesuai untuk menimbulkan semula isu sijil tersebut.
Apatah lagi, kata beliau, manifesto politik termasuk mengiktraf UEC sebagaimana dijanjikan Pakatan Harapan (PH) ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) bukanlah suatu yang bersifat ‘ikatan undang-undang’.
“Walaupun PH dahulu semasa berkempen banyak menabur janji hapuskan tol Utara-Selatan, pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi, menghapuskan senarai hitam peminjam pendidikan PTPTN dan berbagai-bagai lagi.
“Tetapi pengundi semua maklum bahawa manifesto ini tiada ‘legal binding’ maka nak marah dendam pun rasanya tak berbaloi.
“Tunggu sahaja PRU akan datang. Orang Malaysia rata-rata menerima perubahan secara aman iaitu saluran pilihan raya bila genap lima tahun,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Kerajaan Perpaduan tidak mengiktiraf UEC, sama seperti pendirian kerajaan sebelum ini.
Pendirian tersebut adalah berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].
UEC adalah sistem yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).
Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun pula berkata, pengiktirafan kerajaaan terhadap UEC tidak lagi relevan pada masa ini.
Katanya, perkara itu tidak lagi menjadi kepentingan kepada komuniti Cina kerana pemegang sijil peperiksaan itu tidak pun akan memilih universiti awam untuk menyambung pengajian masing-masing.
Apatah lagi, katanya, universiti-universiti swasta tidak menghalang kemasukan pemegang sijil berkenaan atau mereka boleh mengikuti pengajian peringkat tinggi di luar negara.
“Realistiknya, tak banyak pemengang UEC yang mahu bekerja dengan sektor kerajaan. Jika mereka tidak pergi ke sektor kerajaan, jadi pengiktirafan kerajaan untuk UEC tidak penting langsung.
“Saya sendiri pemegang UEC, saya tak pernah terfikir untuk bekerja dengan sektor kerajaan. Jadi pengiktirafan kerajaan terhadap UEC juga tidak relevan bagi saya,” katanya. – UTUSAN