• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Tiada lagi percuma, caj RM1 transaksi ATM bermula hari ini

Feb 1, 2022
Spread the love

Pengguna mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan mula dikenakan caj transaksi sebanyak RM1 berkuatkuasa hari ini, ia menerusi makluman secara rasmi oleh beberapa buah bank tempatan.

Caj tersebut diperkenalkan semula kebanyakkan bank yang menyediakan mesin ATM kepada pengguna bermula 1 Februari dan notis berhubung caj tersebut juga sudah dimuat naik sejak Disember tahun dalam media sosial bank masing-masing.

Antara bank yang membuat pengumuman berhubung caj tersebut adalah Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC.

Dalam makluman di media sosial, Maybank telah menyatakan bahawa mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.

“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank,” demikian menurut bank itu.

Menurut CIMB, “Pelanggan yang dihormati, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic.”

Menurut makluman Bank Islam pula, “Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam.”

Sementara itu di media sosial, beberapa pengguna melontarkan respons masing-masing dengan ada yang berkata caj RM1 itu akan menyebabkan orang ramai kembali beratur panjang di beberapa buah ATM.

Ada juga yang mengkritik bank sebagai kedekut kerana tidak mampu menyerap caj RM1 itu.

“Singgit pun bank tak boleh absorb ke cost tu. Kedekut…,” ciapnya di laman Twitter.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu dikenakan caj RM1.

Caj RM1 yang dikenakan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) kepada pelanggan.

Bank Negara Malaysia (BNM) adalah pemegang saham terbesar dalam PayNet, manakala baki sahamnya dikuasai konsortium 11 bank.