• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Tiada pertandingan tiga jawatan tertinggi Pemuda PAS

Oct 17, 2023
Spread the love

Tiga jawatan tertinggi sayap Pemuda PAS tidak akan menyaksikan pertandingan pada sesi pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke 69 yang dijadualkan berlangsung 20 hingga 22 Oktober ini.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari turut mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya dan hanya seorang calon diajukan untuk jawatan itu, sekali gus akan ada ketua baru bagi sayap Pemuda PAS.

Dia juga memaklumkan bahawa jawatan timbalan ketua Pemuda dan naib ketua Pemuda juga akan dimenangi tanpa saingan.

“Calon (ketua pemuda) yang dicalonkan itu hanya seorang sahaja. Jadi, tidak ada pertandinganlah dan untuk makluman, timbalan ketua dan naib ketua pemuda (juga) akan menang tanpa bertanding,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan ketua Pemuda dibuat bagi memberi laluan kepada muka baru.

“Saya tak pertahankan jawatan (ketua Pemuda PAS). Saya rasa, saya punya tanggungjawab yang paling utama bagi seorang ketua sayap adalah memastikan melalui pilihan raya dengan baiklah.

“Jadi, sayap Pemuda sesi saya ni telah melalui pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN). Jadi kena kena tenaga barulah untuk melonjak…”

“Dan dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia, biasanya seorang ketua tak akan (pegang jawatan) lebih empat tahun. Saya pun dah dua tahun (pegang jawatan) dan kalau saya pegang lagi dua tahun lagi (jawatan ketua pemuda), saya tak boleh lepas dah jawatan sebab nak kena hadap pilihan raya pada masa itu pula,” katanya.
Dia bagaimanapun tidak mendedahkan calon yang bakal menggantikannya.

Pada penggal 2021 hingga 2023 Ahmad Fadhli dilantik mengetuai Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Manakala Afnan Hamimi Taib Azamudden dipilih sebagai timbalan ketua Pemuda dan Hanapi Zulkafli sebagai naib ketua Pemuda.

Menurut Ahmad Fadhli, pengumuman rasmi barisan kepimpinan baru bagi sayap Pemuda PAS itu akan diumumkan Khamis ini.

Selain tiga jawatan tertinggi Pemuda PAS, sebelum ini dilaporkan turut tiada pertandingan adalah lima jawatan tertinggi PAS iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, sebelum ini dilapor berkata ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden menarik diri.

Muktamar Tahunan PAS ke-69 dijangka berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam manakala Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS akan diadakan lebih awal iaitu pada 18 hingga 19 Oktober.