• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Tiada ‘pilih kasih’ untuk VIP di hospital

Dec 27, 2022
Spread the love

PETALING JAYA: Golongan VIP tidak diberi keutamaan rawatan diberikan berbanding kes kecemasan melibatkan orang ramai di hospital kerajaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menafikan amalan seperti itu sesuatu yang biasa, Noor Hisham berkata dasar Kementerian Kesihatan (KKM) adalah jelas untuk memberikan keutamaan kepada “kes kecemasan dan mendesak”.

“Perlu diingat, dasar kementerian adalah untuk memberi keutamaan terhadap kes kecemasan dan mendesak, bagi memastikan rawatan diberikan tanpa sebarang penangguhan,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, portal berita CodeBlue memuat naik artikel kononnya oleh seorang doktor di Hospital Serdang yang mendakwa ada panggilan daripada “orang atasan” untuk segera memberi rawatan kepada VIP di jabatan kecemasan, walaupun mereka sebenarnya dalam keadaan stabil.

Doktor itu mendakwa, pakar lain juga dipanggil untuk memberi rawatan pantas kepada golongan VIP, walaupun ramai pesakit mungkin telah lama menunggu sebelum individu berkenaan.

Noor Hisham menggesa pengadu memberi fakta bagi menyokong dakwaannya bahawa itu satu “amalan biasa” dan menegaskan hospital awam tiada laluan khas untuk golongan VIP mahupun VVIP.

“Kami hanya mempunyai laluan khas untuk warga emas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham menggalakkan orang ramai membuat temu janji dengan pihak hospital untuk mengelak kesesakan.

“Kami menggalakkan perkara ini. Ini membantu menguruskan kesesakan, terutama dalam keadaan yang boleh dielakkan,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya telah mula merangka perancangan bagi menyelesaikan masalah kesesakan di hospital kerajaan.

Isu itu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 yang disiarkan pada 24 Jun 2019.

Laporan itu menyatakan masalah itu bukan saja di jabatan kecemasan dan trauma hospital kerajaan, malah juga di klinik pesakit luar dan wad pesakit dalam, malah klinik kesihatan.

  • FMT