• Thu. Feb 6th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Tidak benar, PAS tinggalkan Muafakat Nasional

Dec 29, 2020 ,
Spread the love

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad menafikan khabar angin yang tersebar di ruangan maya akhir-akhir ini kononnya PAS bakal meninggalkan Muafakat Nasional (MN).

Menurut beliau, khabar angin tersebut hanyalah sentimen yang dimainkan oleh musuh yang cuba menyusup masuk ke dalam parti gabungan MN ini untuk memecahbelahkan perpaduan di dalam gabungan ini dan memenangkan Pakatan Harapan (PH).

“Saya masih lagi terlibat dalam Jawatankuasa Perunding di Peringkat Nasional dan juga Jawatankuasa Teknikal. Jawatankuasa Teknikal ini saya pengerusi dan Dato’ Seri Khalid Nordin (pengerusi) di pihak Umno.

“Di peringkat jawatankuasa perunding (Umno) diketuai oleh Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan dan PAS pula diketuai oleh Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Memang baru-baru ni kita mesyuarat… tak ada apa-apa, dan hari ini pun kita mesyuarat lagi,” ujar beliau menyangkal tentang khabar angin tersebut.

Ketika ditanya tentang harapan beliau terhadap masa depan MN, Ustaz Idris berharap agar MN dapat diperkukuhkan lagi kerana ini wadah untuk dua parti yang teras dalam kalangan orang Melayu yang mempengaruhi peringkat akar umbi sama ada di peringkat ahlinya, kepimpinan sehingga ke peringkat bawah.

“PAS juga pernah bersama dengan Parti Melayu, Semangat 46 dan sebagainya zaman dahulu, cuma tidak berapa kuat. Tetapi apabila kita wujudkan perpaduan dengan Umno, kita jadi kuat sebab Umno ni dia ada grassroot dan PAS pun ada grassroot,” ujar beliau.

Sementara itu, apabila diminta mengulas tentang pembentukan kerajaan baharu Perak berkaitan portfolio Exco yang diberikan kepada PAS, beliau berkata orang PAS ini diibaratkan seperti pepatah Melayu tentang benih yang baik.

“Kalau campak di laut jadi pulau, campak di darat jadi gunung. Insya-Allah kita boleh kerja mana-mana tempat dan bukan suatu masalah yang besar,” ujar beliau.

Ustaz Idris berkata demikian kepada Harakahdaily semasa ditemubual selepas merasmikan Maktab Quran Al Iqra di Taman Alai Perdana, di sini, malam tadi.