Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menjangkakan lebih tiga juta kenderaan akan menggunakan dua lebuh raya itu sempena Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur akan mengalami peningkatan bermula dari 19 April hingga 21 April ini.
Katanya, manakala kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei ini.
“Peningkatan kenderaan itu memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Pekerja.
“Kami berharap agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan lebih tiga juta kenderaan akan menggunakan dua lebuh raya ini pada musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Radzimah berkata, pihaknya turut mengeluarkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) dan akan mengedarkannya di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong pada 16 April ini.
Selain itu, katanya, ANIH Berhad turut memuat naik maklumat di laman sosial sebagai rujukan kepada pengguna lebuh raya.
Beliau berkata, pihaknya menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongan di plaza tol dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan.
Katanya, lebih 140 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya.
“Selain itu, jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik juga ditingkatkan sebanyak 20 peratus dan memperbanyakkan rondaan bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebelum memulakan perjalanan, ingatan penting untuk pengguna agar memastikan baki e-Wallet dan kad Touch N’Go mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol.
“ANIH Berhad juga bersiap sedia memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya jika ada berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diduga dengan bantuan dan kerjasama daripada pasukan Emergency Response Team (ERT) iaitu daripada pasukan St John Ambulance, bomba dan polis,” katanya.
Katanya, maklumat tepat dan terkini, pengguna boleh mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur), Twitter, (@LPTTrafik) Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).