Takut Kepada Allah SWT
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah swt, selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad saw, keluarganya, para sahabatnya dan pengikutnya.
Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt, kerana perintah untuk bertaqwa kepada Allah swt adalah perintah daripada Allah swt, maksud firmanNya:
“WAHAI ORANG YANG BERIMAN, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR KETAQWAAN, DAN JANGAN SESEKALI KAMU MATI MELAINKAN DALAM KEADAAN ISLAM”
(AL-IMRAN 102)
RASULULLAH saw juga diperintah oleh Allah swt supaya bertaqwa kepadaNya seperti yang telah difirmankan di dalam surah al-Ahzab ayat 1.
“WAHAI NABI (MUHAMMAD) TAKUTLAH KAMU KEPADA ALLAH, DAN JANGAN KAMU TAAT SETIA KEPADA ORANG KAFIR DAN ORANG MUNAFIQ, SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA BIJAKSANA”
Marilah sama-sama kita perhatikan lima awal ayat dalam surah
Al-Baqarah yang telah dijelaskan oleh Allah swt berkaitan dengan ciri-ciri orang yang bertaqwa, dan janji Allah swt kepada orang yang bertaqwa pada akhir ayat kelima dari surah
Al-Baqarah itu ialah kejayaan yang sebenar di dunia dan akhirat.
Allah swt juga meminta kepada orang yang beriman agar takut kepadaNya serta memperhatikan amalan yang akan dibawa balik pada hari akhirat kelak. Maksud firmanNya:
“WAHAI ORANG YANG BERIMAN, TAKUTLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN HENDAKLAH SETIAP DIRI PERHATIKAN APA YANG TELAH DIUSAHAKAN UNTUK ESOK (HARI KIAMAT). DAN TAKUTLAH KAMU KEPADA ALLAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI DENGAN APA YANG KAMU LAKUKAN”
(AL-HASYR 18)
Orang mukmin adalah orang yang takut kepada Allah swt dengan seluruh anggotanya, sama ada bersendirian atau ramai, di tempat gelap atau cerah, secara zahir atau batin, dengan adanya sifat taqwa inilah yang akan menyelamatkan kita dari kerosakan di dunia dan azab Allah swt di hari akhirat kelak.
Oleh itu, setiap perintah Allah swt hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melaksanaknnya sebagai tanda keimanan dan kepercayaan kita kepadaNya.
Imam al-Ghazali menceritakan di dalam kitab Mukasyafah al-Qulub:
“SESUNGGUHNYA MALAIKAT LANGIT DAN BUMI, SIANG DAN MALAM, PADA HARI KIAMAT, MEREKA SEBAGAI SAKSI ATAS APA-APA YANG DI LAKUKAN OLEH MANUSIA, BAIK ATAU BURUK, TAAT ATAU MAKSIAT, BAHKAN SELURUH ANGGOTA BADAN AKAN MEMPERSAKSIKANNYA.
BUMI MEMBERI KESAKSIAN BAGI ORANG MUKMIN DAN ZUHUD, SERAYA BERKATA: “DIA TELAH BERSOLAT, BERPUASA, BERHAJI DAN BERJIHAD DI ATASKU” MAKA LEGALAH ORANG MUKMIN DAN ZUHUD ITU.
IA MEMBERIKAN JUGA KESAKSIAN ATAS ORANG KAFIR DAN DERHAKA SAMBIL BERKATA: “DI ATASKU DIA TELAH MUSYRIK , BERZINA, MINUM ARAK DAN MAKAN YANG HARAM” BUMI ITU JUGA AKAN MEMBANTAH PENGELAKKAN MEREKA DARI DI HISAB.”
Berdasarkan kepada petikan kata-kata Imam Al-Ghazali di atas bahawa bumi akan bersaksi juga bagi mereka yang berjihad di jalan Allah swt pada hari kiamat kelak, oleh itu para pejuang agama Allah swt di semua peringkat hendaklah menunaikan apa jua tanggungjawab yang telah di amanahkan oleh jamaah untuk
dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.
Allah swt tidak akan membiarkan para pejuang agamanya balik pada hari akhirat dalam keadaan tanpa ada balasan baik melainkan di ganjarinya dengan sebaik-baik dan sebesar-besar ganjaran di sisiNya.
Kejayaan dan kemenangan dalam gerakan untuk menegakkan agama Allah swt, perintisnya tidak lain tidak bukan asasnya adalah taqwa kepada Allah swt
Islam Memimpin Perpaduan
Demi Islam
Ustaz Muhamad Amin bin Yahya
Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan PKSA