KUALA LUMPUR – Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) yang berlangsung hari ini di Taman Tamadun Islam, Terengganu telah menampilkan tokoh-tokoh ilmuan, politik dan pendakwah Islam termasuk dari luar negara bagi membincangkan isu kritikal berkaitan umat Islam.
Antaranya yang hadir, Tan Sri Abdul Hadi Awang dari Malaysia, Dr. Zakir Abdul Karim Naik (India), Syeikh Muhammad al-Hasan al-Diddu al-Shanqiti (Qatar) dan Al-Habib Dr. H. Salim Segaf Al-Jufri dari Indonesia.
Pengerusi Bersama TIS2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, persidangan telah menggariskan beberapa resolusi untuk diambil perhatian oleh para pemimpin, pertubuhan dan umat Islam supaya tidak terlalu bersikap defensif berhadapan dengan golongan yang fobia, paranoid dan pesimistik dengan Islam.
Sebaliknya, kata beliau, ia mestilah bersikap lebih proaktif dan dinamik dalam membetulkan pemikiran dan kefahaman mereka tentang kesyumulan Islam.
“Kemunculan Islamofobia atau salah faham terhadap Islam adalah berpunca daripada perpecahan rakyat, kejahilan pemimpin dan kelemahan para ulama kerana terkesan dengan pelbagai ideologi selain kejahilan agama sendiri sehingga menganggap Islam tiada hubungannya dengan cara kehidupan manusia dalam segala aspek.
Penyatuan ummah juga menjadi syarat penting kepada keberhasilan agenda menentang Islamofobia yang sedang berleluasa dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa. MG