Oleh: Dr Nabila Din (Media Fastaqim)
Hari ini 19 November. 36 tahun lalu berlaku satu detik hitam dalam sejarah Malaysia moden. Tepatnya pada Selasa tanggal 19 November 1985 bersamaan 6 Rabiul Ula 1406 hijrah – berlakunya Tragedi Memali.
Saat menyedihkan bagi rakyat, termasuklah kepada penyokong-penyokong PAS dengan kesyahidan 14 orang teman sepejuangan dan empat orang anggota polis serta puluhan cedera dan ratusan yang ditahan. Peristiwa berdarah tersebut berlaku di Kampung Memali, Mukim Siong, Baling, Kedah.
Cerita mudahnya, pihak polis diarahkan untuk menangkap seorang guru agama, Ustaz Ibrahim Mahmood yang juga pimpinan PAS Baling. Beliau dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya – seorang pemimpin berkarisma yang hidupnya hanyalah menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat secara ikhlas, terbuka tanpa rasa takut.
Beliau bukan calang-calang ilmuan Islam – sementelah tahun 80-an tidak ramai guru-guru agama. Beliau belajar pondok di Kedah dan di Pusat Pengajian Tinggi Islam, Nilam Puri, Kelantan (kemudian menjadi cawangan Universiti Malaya). Lalu melanjutkan pengajian di Maktab Jamaliah Madras, India; di Darul Ulum Deoband, Pakistan; dan di Universiti al-Azhar, Mesir dengan berijazah Syariah. Beliau dipanggil ‘Libya’ kerana pernah belajar di sana hingga memiliki Diploma Dakwah Islam daripada Maahad Dakwah, Tripoli.
Justeru, ilmunya datang dari lima buah negara Islam. Ketinggian ilmunya ini diiktiraf oleh Kerajaan Libya yang membiayainya sebagai pendakwah apabila pulang ke tanah air pada 1974. Beliau ditempatkan di Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri serta turut mempunyai slot kuliah di RTM. Namun, dua tahun kemudian beliau meletakkan jawatan dan pulang berbakti ilmu kepada masyarakat dengan membuka sekolah agama.
Sebaliknya, Laporan Kertas Putih di Parlimen – Peristiwa Memali: Kertas Perintah 21, Tahun 1986 – bertarikh 25 Februari 1986 menyebutkan kegiatan beliau – terutama kuliah dan ceramahnya – dikatakan bak seorang pelampau agama yang memecah belah masyarakat serta menyancam keselamatan negara. Oleh itu, beliau perlu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Namun, Ustaz Ibrahim konsisten melawan kezaliman. Beliau tidak rela ditangkap di bawah ISA. Beliau benci tangkap tanpa bicara akta tersebut. Setelah beberapa kali gagal, pihak kerajaan ketika itu bertindak menangkapnya melalui Operasi Angkara bermula jam 8.30 pagi dengan penglibatan 576 anggota polis. Lalu berlakulah apa yang berlaku.
Walaupun sudah lama berlalu, parut tragedi tersebut masih berbekas. Secara peribadi, penulis masih ingat saat itu. Pada pagi itu penulis terlantar sakit, justeru siaran televisyen menjadi rakan melepaskan bosan. Masih ingat, RTM sepanjang hari itu dan hari-hari seterusnya galak menyumbat telinga mata penonton tentang ‘ajaran sesat’, ‘melindungi penjenayah’, ‘pengganas komunis’ dan sebagainya.
Hakikat sebenar peristiwa tidak diketahui. Fakta yang dihadapkan kepada rakyat ketika itu sebenarnya boleh dipertikai. Namun, ketika itu tabayyun tidak dapat dilakukan – tiada internet, tiada WhatsApp, tiada Tiktok. Yang ada hanyalah kaset-kaset ceramah dan khutbah Masjid Rusila, khasnya oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang – Timbalan dan Naib YDP Agung PAS ketika itu yang berhujah mempertahankan al-Syahid.
Begitu juga tuduhan jahat bahawa Ustaz Ibrahim seorang penderhaka (bughah). Tuduhan tersebut dengan sendiri ternafi apabila Sultan Kedah – selaku Ketua Agama Negeri – mencemar duli berangkat menziarahi pusara syuhada’, malah menyiram air mawar dan menghadiahkan batu nisan mereka.
Ini suatu langkah bijak meredakan suasana al-Sultan yang kasih kepada semua rakyat. Menjelaskan isu penderhaka, Ustaz Fadzil – direkodkan oleh arwah Pak Subky – berkata, ‘Mana ada raja perkenan menziarah kubur orang derhaka? Macam Hang Jebat yang dianggap derhaka kepada Raja Melaka, tidak pernah ada raja-raja dari dulu hingga sekarang ziarah kubur Hang Jebat.’.
Beberapa penyataan seperti Ibrahim Libya memiliki senjata api termasuk koktel molotov, tangkal azimat, air kolah berjampi dan sebagainya juga belum pernah dibuktikan di mahkamah. Malah, agak mengejutkan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Musa Hitam yang juga Timbalan Perdana Menteri – pada 27 Mac 2014 di Kota Bharu – mendedahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam negara saat Tragedi Memali, bukannya di China seperti fakta yang diketahui awam sebelum itu.
Semuanya pasti terbongkar jika diselesaikan secara undang-undang. Kertas Putih – walaupun rasmi di Parlimen – hanyalah fakta sebelah pihak, lebih-lebih lagi terdapat dakwaan saksi ISA dipaksa. Lebih malang, kes saman di mahkamah yang dibawa oleh balu dan penduduk Memali banyak kali telah ditangguhkan. Peguam asal pun berganti-ganti. Akhirnya menemui jalan pengakhiran tanpa perbicaraan sebenar.
Realitinya, kini ramai saksi hidup sudahpun tiada. Ke mahkamah pun tiada gunanya. Arwah Ustaz Fadzil, Pesuruhjaya PAS Kedah ketika itu sudah tiada, arwah Tok Guru Omar Zuhdi Pondok Lanai sudah tiada, arwah ahli Majlis Fatwa Kedah Tok Guru Pak Ya Juned dan Ustaz Azahari Abd Razak juga sudah tiada. Itu belum dikira balu, waris-waris dan orang sekampung syuhada’ – ramai yang telah menemui Maha Pencipta.
Semuanya sudah dibumikan. Semua fakta dan hakikat sebenar juga sudah dibumikan bersama mereka. Yang tinggal kepada kita – hanyalah menadah tangan mendoakan kebaikan kepada mereka yang terlibat, termasuk kepada pihak polis yang meninggal dunia.
Kita juga hanya mampu untuk mendoakan agar tidak berlaku lagi peristiwa sedemikian dalam negara yang dicintai ini. Nyawa manusia bukan nilai sekupang dua. Sang politikus!! Lawanlah hujah dengan hujah. Untuk tahun ke-36, diucapkan al-Fatihah untuk semua syuhada’.