KEGEMBIRAAN empat beradik bersama ibu dan seorang rakan berkelah serta mandi pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan sempena cuti perayaan Aidilfitri berakhir dengan tragedi apabila tiga daripadanya lemas dalam kejadian lewat petang semalam.
Rakan mangsa turut dilaporkan kritikal dengan menggunakan alat bantuan pernafasan dan masih dirawat di Hospital Port Dickson (HPD).
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima maklumat mengenai kejadian lemas itu pada jam 6.20 petang semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku di pantai berhampiran Kompleks Pentadbiran Port Dickson, Batu 1, Jalan Lantai Port Dickson.
“Siasatan polis mendapati, mangsa bersama emak dan seorang rakan telah datang dari Banting, Selangor ke Port Dickson bertujuan untuk mandi-manda.
“Pada jam lebih kurang 4.30 petang mangsa seramai lima orang turun untuk mandi meninggal emak mereka berada di darat. Selepas itu, emak mangsa terdengar suara meminta tolong dan nampak dua anaknya dan seorang rakan baik ke darat dalam keadaan cemas, manakala dua lagi mangsa masih berada di laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seterusnya emak mangsa meminta pertolongan orang awam untuk menghubungi pihak polis dan bomba bagi mendapatkan bantuan menyelamatkan dua lagi anaknya.
“Operasi menyelamat dilakukan pihak Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Telok Kemang yang berjaya menemui dua mangsa berkenaan.
“Walau bagaimanapun, tiga mangsa dalam kejadian itu gagal diselamatkan walaupun dengan usaha bantuan pernafasan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HPD.
“Seorang rakan kepada tiga beradik berkenaan kini masih dirawat di HPD dan dalam keadaan kritikal dengan menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu adalah adik-beradik yang berusia 19 hingga 30 tahun dan mayat mereka dihantar ke Jabatan Forensik HPD untuk bedah siasat.