• Fri. Mar 1st, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Tukar kerajaan: Tiada siapa perlu takut

Jan 10, 2024
Spread the love

Pertukaran sokongan oleh parti-parti kerajaan terhadap Perdana Menteri adalah perkara yang dibenarkan undang-undang sebagaimana peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, kebiadapan dan mungkin boleh dianggap penderhakaan hanya jika peralihan sokongan dibuat sehari atau seminggu selepas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, Perdana Menteri telah diberi peluang untuk mentadbir selama lebih setahun di mana parti-parti kerajaan dan wakil rakyat yang menganggotai kerajaan telah memiliki pengalaman berada dalam pentadbiran bersama.

Tambah beliau, pengalaman bersama-sama dalam kerajaan di bawah teraju Perdana Menteri selama setahun menjadi ukuran tahap keserasian dan kemampuan untuk berkerjasama antara satu sama lain.

“Jadi jika tidak wujud keserasian, tiada peruntukan undang-undang atau Perlembagaan yang menafikan hak parti-parti dalam kerajaan untuk menilai kembali kedudukan mereka dalam kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, pagi ini.

Dr Fathi menjelaskan, Perkara 43(4) Perlembagaan menetapkan bahawa, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri.

“Melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di mana peruntukan tersebut memberikan dua pilihan kepada seseorang Perdana Menteri yang ‘tidak lagi mendapat kepercayaan’.

“Peletakan jawatan adalah bagi membolehkan Yang Di-Pertuan Agong memilih anggota Dewan Rakyat lain yang mampu mendapat kepercayaan majoriti atau memohon membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada satu Pilihan Raya Umum baharu,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Perlembagaan tidak mengaitkan penilaian ‘tidak lagi mendapat kepercayaan’ secara khusus dengan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong, sebagaimana kuasa pelantikan.

“Oleh yang demikian, penilaian bagi menentukan seseorang ketua kerajaan ‘tidak lagi mendapat kepercayaan’ perlu dilakukan dengan lebih jelas dan teliti berbanding penilaian untuk menentukan sama ada seseorang anggota Dewan Rakyat atau ADUN mendapat kepercayaan majoriti bagi menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri.

“Penilaian ‘mendapat kepercayaan’ berbeza dengan penilaian ‘hilang kepercayaan’. Penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan boleh dilakukan dengan budi bicara lebih terbuka, kerana wujud perkataan ‘mungkin’, ‘pada hemat’, dan ‘budi bicara’ dalam peruntukan Perkara 40 dan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Berbanding penentuan untuk membuktikan ‘hilang kepercayaan’ yang perlu dinilai secara yang lebih ketat,” ujarnya mengupas polemik dan kontroversi peralihan sokongan daripada Perdana Menteri yang heboh mutakhir ini,” tegasnya.

Bagaimanapun ujar Dr Muhammad Fathi, cara pertama dan paling jelas untuk menentukan berlakunya hilang kepercayaan ialah berdasarkan undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat, atau DUN.

“Cara yang kedua ialah dengan melihat kepada dokumen yang dikemukakan oleh anggota Dewan Rakyat atau ADUN berkaitan tahap kepercayaan mereka kepada ketua kerajaan.

“Dokumen yang biasa digunakan ialah Surat Akuan Berkanun (SD) yang ditandatangani sendiri oleh wakil rakyat berkenaan di mana SD individu wakil rakyat menjadi sandaran kerana asas kepada kepercayaan adalah dari individu wakil rakyat dan bukannya parti.

“(Ini) Seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, temu bual bersemuka juga boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan penilaian yang dilaksanakan. Kaedah ini pernah dilaksanakan sewaktu krisis politik di Perak pada tahun 2010,” hujahnya.

Selain itu beliau menjelaskan bahawa rujukan yang boleh digunakan juga ialah perakuan dari ketua parti mewakili wakil rakyat dari partinya sebagaimana peruntukan yang termaktub dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan tersebut telah mengukuhkan kedudukan parti sebagai suara kepada wakil-wakil rakyat yang mewakili parti menjadikan perakuan ketua parti sebagai rujukan yang penting,” ujarnya.

Beliau berkata, kedudukan dan kuasa parti menjadi lebih kukuh, jika perlembagaan parti itu menetapkan bahawa kegagalan mana-mana wakil rakyatnya memberikan sokongan mengikut kehendak parti akan menyebabkan beliau tidak lagi menjadi anggota parti.

“(Ini) sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A (1)(b), seperti yang ada dalam perlembagaan parti DAP dan Amanah. Walau bagaimana pun keberkesanan sekatan lompat parti di bawah Perkara 49A menjadi persoalan.

“(Yakni) Apabila lima ahli Parlimen BERSATU tidak diminta mengosongkan kerusinya selepas mengumumkan perubahan sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri,” tegasnya lagi membahas kes tersebut.

Katanya lagi, timbul juga persoalan berkaitan kesan surat akujanji serta dokumen perjanjian kerjasama antara parti politik kerajaan yang menyebut tentang implikasi menukar sokongan.

Menurutnya lagi, pada dasarnya dokumen berkenaan boleh berkuat kuasa sebagai perjanjian yang sah setakat tidak bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang bertulis.

“Ini kerana sebarang bentuk perjanjian tidak boleh mengatasi Perlembagaan dan undang-undang. Memandangkan Perlembagaan memberikan hak wakil rakyat untuk memberi dan menarik balik sokongan kepercayaan, maka akujanji dan perjanjian sedemikian tidak dapat menghalang kesan peralihan sokongan.

“Namun, jika perjanjian berkenaan mengandungi aspek remidi berbentuk ganti rugi yang perlu dibayar akibat pelanggaran perjanjian, maka pihak yang menukar sokongan itu mungkin tertakluk kepada liabiliti ganti rugi bergantung kepada fakta kes dan kandungan perjanjian berkenaan.

“Sementara cara yang ketiga hurai beliau, ialah melalui pengakuan oleh pemegang jawatan itu sendiri, sebagaimana jika Perdana Menteri mendapati bahawa dia telah hilang sokongan, maka dia mempunyai dua pilihan.

“Sama ada meletakkan jawatan atau meminta Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, sepertimana peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2020 dan Tan Sri Muhyidin Yasin pada tahun 2021,” jelas beliau lagi.

Menurut beliau juga, tindakan dua tokoh itu berasaskan keyakinan bahawa mereka tidak lagi memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat, namun kedua-duanya tidak menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Perlu diingat bahawa urusan menentukan sama ada seseorang penyandang jawatan Perdana Menteri telah hilang kepercayaan, dan urusan untuk menentukan kepercayaan anggota Dewan Rakyat untuk melantik Perdana Menteri baharu adalah dua urusan yang berasingan.

“Namun, kedua-dua urusan ini boleh dilaksanakan melalui satu proses penilaian sebagaimana yang dilakukan oleh Sultan Perak dalam krisis politik 2010. (Tetapi) Perkembangan politik semasa yang disebut sebagai ‘Langkah Dubai’ kelihatan tenang-tenang sahaja.

“Tidak ada mana-mana wakil rakyat dari blok kerajaan yang membuat apa-apa pengakuan menukar sokongan. Pemimpin pembangkang pula tidak membuat apa-apa sidang media rasmi mengakui memiliki jumlah sokongan yang ‘strong, formidable and convincing’.

“Apa yang sebenarnya sedang berlaku masih menjadi persoalan. Sama ada berlaku perubahan atau tidak, kita mengharapkan suasana ketenangan ini berkekalan,” jelas pensyarah kanan itu.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin politik yang menerajui negara dan terlibat dalam percaturan politik tidak lupa untuk mendengar pandangan dan suara hati rakyat sebelum membuat keputusan berkaitan tampuk pemerintahan negara tercinta ini. – HARAKAHDAILY 10/1/2024