• Thu. Feb 6th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Tular rakaman lelaki pandu Kancil melawan arus cetus kemarahan netizen

Dec 30, 2020
Spread the love

BANTING – Polis mengesan pemandu Perodua Kancil yang memandu melawan arus di Kilometer 1, Jalan Banting-Jugra di sini pada malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalarifin Aman Shah berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit kira-kira jam 11.45 malam susulan tular satu rakaman video di media sosial.

“Berdasarkan rakaman itu, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki keluar dari arah Jalan Bandaran menghala ke Jugra.

“Kereta terbabit yang berada di lorong kanan telah masuk ke laluan bertentangan sehingga simpang lampu isyarat Jalan Sungai Nangka,” katanya.

Beliau berkata, bertindak hasil maklumat, pihaknya telah mengesan rumah pemilik kenderaan terbabit dan kereta tersebut berada di luar pagar rumah.

Katanya, bagaimanapun tiada penghuni di rumah berkenaan dan usaha mengesan pemandu tersebut giat dilakukan.

“Polis meminta saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil salurkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Masrol Mohd Din di talian 0111-8539115,” katanya.