SHAH ALAM, 28 Okt – NGO Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) akan menganjurkan majlis Hi-tea Dana Palestin GU bersama Tokoh pada Ahad, 29 Oktober 2023.
Majlis yang diadakan mulai jam 4.30 petang hingga 7.00 malam tersebut dijangka dihadiri jemputan khas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan YB Senator Nik Abduh Nik Abdul Aziz, tokoh pimpinan daripada PAS.
Majlis tersebut akan diadakan di Aras 2 Dewan Sri Hatinie, Plaza Alam Central, Shah Alam.
Menurut penyelaras program Wan Hairul Anuar Abdullah, majlis tersebut bertujuan mengumpulkan dana untuk rakyat Palestin di samping bersolidariti merasai kesedihan dan kesusahan saudara seagama rakyat Palestin yang ditindas sertas dizalimi di tanahair sendiri oleh rejim Zionis Israel.
Majlis tersebut diisi dengan sesi bicara tokoh berkaitan isu-isu semasa Palestin di samping upacara menyerahan cek awal bernilai RM50,000.00 daripada NGO Geng Ustaz kepada Pengarah PASRelief YB Ustaz Yusni Mat Piah dengan disaksikan oleh Tun Mahathir.
Turut dijangka membuat pengisian dalam program tersebut ialah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani Presiden Geng Ustaz, Ustaz Farhan Suhut Ketua Lajnah Antarabangsa Geng Ustaz serta dihadiri oleh Datuk Wira Marzuki Yahya Setiausaha Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.
Wan Hairul turut mengajak seluruh rakyat Malaysia tampil beramai-ramai menyertai majlis tersebut dengan mendapatkan kupon sumbangan bagi dana tersebut.
Untuk rekod, 100 peratus sumbangan melalui kupon terus disumbangkan ke dana tersebut, sementara jamuan hi-tea disumbangkan oleh pihak lain.
Kupon boleh diperolehi melalui wakil NGO tersebut di talian 0132072749 (Ustaz Ahmad Nazri), 0192277828 (Ustaz Asmadi) atau 01119404048 (Ustaz Ubid).