• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Twitter tak layan SKMM minta padam ciapan kutuk kerajaan Madani

Jul 1, 2023
Spread the love

Aplikasi Twitter tidak melayan permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menurunkan beberapa ciapan mengkritik kerajaan.

Memetik laporan MalaysiaNow, pemintaan itu bagi menurunkan empat ciapan dibuat pengguna dengan akaun ‘Salim Iskandar’ yang kerap menyiarkan tulisan mempersendakan kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Memandangkan Twitter sangat percaya dalam mempertahankan dan menghormati suara pengguna kami, adalah menjadi dasar kami untuk memberitahu pengguna jika kami menerima permintaan undang-undang daripada entiti yang diberi kuasa (seperti penguat kuasa undang-undang atau agensi kerajaan) untuk memadamkan kandungan daripada akaun mereka,” kata Twitter dalam e-mel kepada Salim bagi memaklumkan permintaan SKMM kepadanya.

Salim sebelum ini menyiarkan beberapa siri ciapan mencabar Anwar untuk mengangkat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan liwat yang mana beliau disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara pada 2015 sebelum diberikan pengampunan diraja pada 2018.

Beliau juga menyelar Anwar kerana pendiriannya sekarang yang memihak kepada pelaburan China, membandingkan dengan kenyataan Anwar sebelum ini yang mengkritik kerajaan kerana bergantung hanya kepada Beijing, termasuk ketika Anwar menuduh kerajaan Datuk Seri Najib Razak menjual negara kepada China.

Twitter dalam maklum balasnya menasihatkan Salim untuk memutuskan sama ada beliau mahu memadamkan siaran itu secara sukarela atau mendapatkan khidmat peguam bela.

Perkhidmatan rangkaian media sosial yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mempunyai dasar meneliti permintaan daripada agensi kerajaan untuk memadam ciapan tetapi ia hanya dipenuhi untuk kes yang melibatkan kemudaratan kepada kanak-kanak, ancaman nyawa dan keganasan.

Dasar Twitter juga menghalang syarikat itu daripada mematuhi permintaan yang boleh menyekat kebebasan bersuara atau menutup mulut wartawan dan ucapan politik yang sah.

SKMM ialah sebuah agensi pengawal selia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital diterajui Fahmi Fadzil yang mengundang kontroversi kerana serangannya terhadap media serta ancaman tindakan polis terhadap pengkritik kerajaan baru-baru ini.