• Thu. Feb 6th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

UCMI agresif jalin kerjasama dengan industri

Jul 28, 2022 ,
Spread the love

SHAH ALAM, 28 JULAI 2022 – Melihat betapa pentingnya sinergi antara institusi pengajian tinggi dengan pihak industri, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (Universiti College of MAIWP International – UCMI) mengorak langkah menjalinkan kerjasama dengan pihak industri di Malaysia.

Dalam satu Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan bersempena Majlis Penjenamaan dan Perasmian Kampus Bandar UCMI, YB Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyaksikan pertukaran MoU antara UCMI dengan 3 industri iaitu QL Maxincome Sdn. Bhd. (Family Mart), Matan Centre Solutions Engineering Sdn. Bhd. dan Kauthar Wealth Management Sdn. Bhd.

Melalui MoU antara UCMI dan QL Maxincome Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik rangkaian kedai serbaneka popular, Family Mart Malaysia, pihak-pihak berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam program penempatan pelajar UCMI untuk latihan industri dan amali di Family Mart Malaysia.

Manakala MoU antara UCMI dan Matan Centre Solutions Engineering Sdn. Bhd. pula memfokuskan jalinan kerjasama strategik dalam memasar dan melaksanakan program latihan dan perundingan khususnya di bidang kesihatan dan keselamatan pekerjaan untuk pasaran pelbagai industri dan institusi merangkumi agensi kerajaan dan swasta.

Melihatkan pada kesedaran umat Islam yang semakin cakna tentang wasiat dan hibah, UCMI dan Kauthar Wealth Management Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dalam perkhidmatan pewarisan Islam yang menggunakan instrumen dan produk pewarisan Islam yang disediakan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad. Disamping itu, UCMI dan Kauthar juga akan memperkenal program hibah pewarisan yang diberi nama Hibah Lil Ilmi dimana para pewaris boleh mewasiatkan sebahagian harta pusaka mereka untuk dihibahkan kepada UCMI.

Selain itu, UCMI turut menjalinkan kerjasama dengan Bulan Sabit Merah Malaysia. Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak beriltizam untuk berkolaborasi dalam program yang diberi nama ‘Sentuhan Kasih MAIWP’ yang merupakan program bantuan bencana dan kecemasan. Kursus dan latihan akan dijalankan bagi melatih individu yang akan terlibat dalam program bantuan bencana dan kecemasan ini dibawah kerjasama UCMI dan Bulan Sabit Merah Malaysia.

UCMI juga turut mengumumkan jalinan kerjasama strategiknya dengan Yayasan Prihatin Nasional. Fokus kerjasama adalah lebih terarah dalam memasar dan melaksanakan program-program kemasyarakatan (CSR) dan program kepimpinan mahasiswa, belia dan usahawan muda khususnya untuk menjadi penggerak utama dalam membantu kerajaan melaksanakan program bercorak kemasyarakatan di seluruh Malaysia.

Dalam majlis yang sama, UCMI turut mengumumkan pelantikan syarikat farmaseutikal terbesar negara, Pharmaniaga Berhad sebagai rakan industri UCMI. Menerusi lantikan ini, Pharmaniaga akan menjadi rakan industri yang akan berkolaborasi dengan UCMI dalam beberapa aktiviti utama seperti kerjasama penyelidikan dan pembangunan produk, program latihan industri pelajar dan program sangkutan industri untuk pensyarah, program pembangunan usahawan dan penajaan serta bantuan untuk pembangunan modal insan.