• Tue. Nov 12th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

UiTM atasi masalah kekurangan kediaman pelajar

Sep 20, 2022
Spread the love

SHAH ALAM- Beberapa langkah praktikal yang sedang diambil Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengatasi masalah kekurangan kediaman yang dialami oleh pelajarnya.

Antara salah satu langkah yang telah diambil dengan telah menubuhkan Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu berkenaan.

“UiTM amat prihatin dan mengambil berat perihal kebajikan mahasiswa susulan isu sukarnya mahasiswa mendapatkan rumah sewa terutamanya di kawasan yang berdekatan dengan kampus.

“Kita sedang mencari resolusi terbaik bagi membantu mahasiswa yang sukar mendapat rumah sewa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain penubuhan jawatankuasa itu, institut pengajian tinggi itu memaklumkan bahawa sebuah porta rumah sewa telah diperkenalkan bagi memudahkan urusan mahasiswa mendapatkan rumah sewa.

Malah menurutnya, mana-mana pihak yang ingin menyewakan rumah mereka kepada penuntut UiTM juga boleh mengiklankan kediaman di laman sesawang berkenaan di http://nr.uitm.edu.my.

“Kami kini telah menyediakan 107,000 penempatan di kolej kediaman, dengan menawarkan 34,000 tempat kepada pelajar baharu bagi peringkat pembelajaran Diploma serta Ijazah Sarjana Muda.

“52,000 tempat pula diberikan kepada pelajar yang layak secara merit mengikut polisi penempatan UiTM dan 21,000 tempat kepada pelajar yang sedang membuat rayuan untuk tinggal di kolej kediaman,” ujarnya.

Kata UiTM, permohonan rayuan kolej boleh dibuat secara atas talian melalui sistem e-Rayuan Kolej yang telah dibuka pada 13 September dan bakal berakhir pada 23 September.

Keputusan rayuan dijangka diumumkan pada 28 September. – KOSMO! ONLINE.