• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

UMMAH, 200 NGO sokong gabungan PN, BN, GPS GRS bentuk kerajaan

Nov 21, 2022
Spread the love

UMMAH DAN GABUNGAN 200 NGO ISLAM SOKONG GABUNGAN PERIKATAN NASIONAL, BN, GPS, GRS (KERAJAAN PERPADUAN UMMAH) MEMBENTUK KERAJAAN PERSEKUTUAN – TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN SEBAGAI PERDANA MENTERI

1.  Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengucapkan tahniah kepada gabungan parti Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah memenangi kerusi Melayu Islam terbanyak dan mampu membentuk Kerajaan Persekutuan.
2.  UMMAH juga mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya pengundi muda yang bijak mengundi blok gabungan parti mana yang mampu mendaulatkan agama, bangsa dan negara serta bersih daripada rasuah selain dibarisi kepimpinan yang berwibawa.
3.  UMMAH berdoa agar kerajaan penyatuan ummah di antara gabungan parti Melayu Islam iaitu BERSATU, PAS dan UMNO serta parti GPS di Sarawak dan GRS di Sabah terus dapat dibentuk dan disepadukan bersama gabungan Perikatan Nasional membentuk Kerajaan Persekutuan yang kuat dan stabil demi kesejahteraan rakyat dan negara.
4.  UMMAH juga bersama Gabungan 200 NGO Islam menyokong penuh cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke 10 kepada kerajaan penyatuan ummah yang dibentuk dan seterusnya mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong.
5.  UMMAH juga berpendirian agar semua pihak perlu menghormati keputusan rakyat selepas ini, khususnya apabila kerajaan baru mendapat perkenaan daripada Yang Di Pertuan Agong dengan perlantikan Perdana Menteri.
6.  UMMAH dan Gabungan 200 NGO Islam akan terus menyokong sepenuhnya kerajaan penyatuan ummah yang akan terbentuk nanti dan berharap usaha penyatuan ummah terus diperkasakan dan disepadukan bersama agenda perpaduan nasional masyarakat majmuk yang berbilang kaum bagi mengukuhkan kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat.
7.  UMMAH dan Gabungan 200 NGO Islam berharap kerajaan baru Perikatan Nasional mengiktiraf peranan NGO, teknokrat serta cendekiawan dengan lebih tuntas, melibatkannya dalam proses runding cara polisi dan dasar 

serta perlaksanaanya oleh agensi kerajaan bagi membentuk satu koalisi yang baik diantara kerajaan dan rakyat. Peranan sebagai perunding dan pemantau mahu pun pengkritik bagi mewujudkan semak dan imbang bagi sebuah kerajaan yang seimbang dan mesra rakyat.
8. UMMAH juga berharap agenda pemulihan negara segera dilaksanakan dan perlu diwujudkan pelan tindakan keutamaan oleh kerajaan, bagi memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak muda, membangun sektor pertanian, petani dan nelayan serta pengukuhan sektor pendidikan bagi pembangunan generasi belia dan beliawanis masa depan negara.
9. Kestabilan politik dengan pentadbiran yang bersih dan cekap serta perihatin lagi responsif kepada kecaknaan keperluan rakyat akan memacu kemapanan dan kelestarian pertumbuhan ekonomi negara yang akan memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)

21 Nov 2022