• Thu. Feb 6th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ummah perlu bersatu kembalikan Pendidikan Islam di IPT

Sep 16, 2022
Spread the love

Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama’ (Geng Ustaz) mengambil maklum keresahan umat Islam di Malaysia tentang penghakisan Pendidikan Islam sebagai Mata Pelajaran Umum (MPU) yang wajib diambil oleh pelajar-pelajar Muslim di Institut Pendidikan Tinggi (IPT).

Penghakisan ini rentetan penghapusan mata pelajaran ini dan Pendidikan Moral (bagi pelajar bukan Islam), diganti dengan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) serta Hubungan Etnik dan pada tahun 2019 diganti pula dengan subjek Falsafah & Isu Semasa serta Penghayatan Etika & Peradaban.

Langkah menjadikan Pendidikan Islam sebagai korban kepada mata pelajaran lain ini telah memberi pelbagai kesan kepada survival Islam, antaranya kepada pelajar Muslim seperti berikut:

  1. Pelajar Muslim belajar komponen akidah, syariah dan akhlak secara teratur sehingga Tingkatan 5 sekolah menengah sahaja, tiada langsung di IPT;
  2. Pelajar Muslim kurang rujukan dan bimbingan agama kerana tiada atau hampir tiada pensyarah Pendidikan Islam, khasnya di IPT Swasta kerana kursus tersebut tidak ditawarkan lagi;
  3. Pelajar Muslim terdedah dengan pelbagai olahan sewenang-wenangnya dalam silibus, contohnya dalam kursus Falsafah dan Isu Semasa kerana turut melibatkan pensyarah bukan Islam; dan
  4. Pelajar Muslim mudah terdedah dengan kerosakan akidah, kepincangan gejala sosial, maruah dan harga diri serta pelbagai perkara negatif dalam persekitaran harian.

Sehubungan dengan itu, kami menuntut pihak kabinet khasnya Kementerian Pengajian Tinggi menggembalikan semula Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai MPU di IPT/universiti seperti diamalkan sejak tahun 1980-an, malah ini juga hasrat terkandung dalam Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

Kami juga menyeru seluruh umat Islam tanpa mengira kaum, ideologi politik, parti mahupun puak untuk sama-sama bersatu hati, berpadu jiwa atas nama Penyatuan Ummah bagi mendesak kerajaan dalam hal ini demi agama, bangsa dan negara, lantas membenamkan semua agenda jahat anti-pendidikan Islam ke bumi.

USTAZ AHMAD DUSUKI ABD RANI
Presiden NGO Geng Ustaz
16 September 2022