• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

UMMAH selar tindakan KPKT import khidmat pakar

Jan 21, 2023
Spread the love

  1. Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membantah sekeras-kerasnya tindakan dan keputusan Menteri Kerajaan Perumahan dan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming yang akan membawa masuk pakar daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura (HDB) bagi membantu menyelesaikan isu berkaitan perumahan di negara ini.
  2. Tindakan ini akan mendedahkan segala maklumat penting kerajaan Malaysia berkaitan strategi dan halatuju pembangunan perumahan di negara ini.
  3. Sebagaimana yang kita maklum, Singapura telah berjaya meminggirkan pemilikan rumah kepada orang Melayu di Singapura dengan menyediakan rumah dengan harga yang tinggi, di luar kemampuan. Ramai orang Melayu di Singapura terpaksa membeli rumah di negeri Johor kerana tidak mampu. Apakah ini yang akan dibawa dan dilaksanakan di Malaysia?
  4. Selain itu, pemilikan rumah di kawasan bandar besar di negara ini juga gagal dimiliki oleh orang Melayu dan bumiputera kerana harga yang mahal, walaupun diwujudkan kuota sebanyak 30 peratus, namun tetap gagal dijual.
  5. KPKT sewajarnya menumpukan usaha dan strategi perumahan negara ke arah harga rumah yang sederhana dan mampu milik berdasarkan kepada pendapatan golongan B40 dan M40, juga kepada golongan muda dan belia.
  6. Isu-isu yang terkait dengan projek terbengkalai atau ‘sakit’ harus diuruskan secara profesional berdasarkan merit pihak yang terlibat seperti perunding yang bertauliah dan profesional serta pemaju yang mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh, bukan berdasarkan kepada kroni.
  7. UMMAH menyeru kepada Perdana Menteri agar segera campur tangan dan mengkaji semula tindakan dan keputusan Menteri KPKT yang membuat keputusan membawa pakar daripada HDB Singapura ke dalam kementerian.

Ini soal kedaulatan dan keselamatan negara yang perlu diambilkira dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)

20 Jan 2023