PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memberikan tempoh masa selama 60 hari kepada Umno untuk menjelaskan secara terperinci keputusan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan pada pemilihan akan datang.
Perkembangan ini menyusuli pertemuan dua kali antara JPPM dan Umno, yang diwakili Setiausaha Agung Ahmad Maslan dan penasihat undang-undang parti itu.
“Saya yakin setiausaha agung kita telah memenuhi semua permintaan JPPM,” kata Presiden Umno, Zahid Hamidi pada sidang media di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Wakil Umno menemui Ketua Pengarah JPPM, Mohd Nawardi Saad, pada 31 Jan bersama dokumen berhubung keputusan parti itu untuk tidak mempertandingkan jawatan yang kini digalas Zahid dan Mohamad Hasan pada pemilihan akan datang, menerusi usul yang diluluskan perhimpunan agung 2022.
Pertemuan itu menyusuli aduan daripada dua ahli Umno kepada JPPM, yang memohon badan itu menentukan sama ada usul tersebut ada pertikaian. Ini kerana atur cara mengemukakan usul itu dikatakan tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan parti.
Zahid berkata aduan dan penjelasan daripada semua pihak wajar didengari untuk berlaku adil, “agar tidak timbul soal tafsiran dan interpretasi yang pelbagai.”
“Saya amat yakin bahawa perjalanan PAU telah mengikut peraturan mesyuarat yang telah ditetapkan dan juga mengikut perlembagaan parti sebagaimana yang termaktub,” katanya.
- FMT