Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata rundingan kerusi di Selangor bukan hanya berasaskan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas dan sepatutnya UMNO diberikan kerusi banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ketegasan Presiden UMNO dalam rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor perlu diterima secara terbuka Pakatan Harapan (PH) dan sepatutnya memberi banyak kerusi kepada rakan parti dalam kerajaan campuran tersebut.
“Kami merasakan bahawa asas PRU-14 dan PRU-13 sahaja tidak boleh digunakan sebagai basis untuk kita mengutamakan (rundingan kerusi).
“Perbincangan harus diadakan dengan BN (Barisan Nasional) dan PH,” katanya dipetik laporan media semalam.
Beliau berkata demikian semasa majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kampung Baru baru-baru ini.
Penjelasan Zahid tersebut mempunyai asasnya kerana UMNO kini sudah mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri dan menjadi menjadi sebahagian dalam kerajaan pusat, sepatutnya mereka mendapat kerusi yang banyak di Selangor.
Paling kurang, UMNO perlu diberikan 22 kerusi DUN untuk mereka tandingi pada PRN Selangor nanti.
Walaupun sokongan semasa PRU-15 lalu menunjukkan sokongan orang Melayu dan pengundi muda tidak memihak kepada UMNO, namun situasi tersebut sudah berubah sekarang.
Malah, sejak berada dalam kerajaan campuran, UMNO kini semakin mantap dan sudah berada jauh lebih baik bersedia berbanding semasa menghadapi PRU-15 lalu.
Malah, aura kepimpinan Zahid dalam UMNO juga semakin kuat, ia semakin terserlah apabila berjaya mengekalkan jawatan Presiden tanpa ada pertandingan semasa pemilihan lalu.
Selain itu, ketiadaan musuh dalaman parti yang sudah dibuang dan digantung akan memberi suntikan baharu kepada UMNO kerana sudah mempunyai kesatuan antara sesama mereka.
Pada PRU-13, BN memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN di Selangor manakala Pakatan Rakyat ketika itu memenangi 44 kerusi.
Pada PRU-14 pula, BN hanya memenangi empat kerusi dan PH pula meluaskan penguasaan mereka di Selangor dengan memenangi 51 kerusi.
Enam kerusi PH dimenangi oleh Bersatu – yang merupakan parti komponennya ketika itu – manakala PAS memenangi satu kerusi.
Sementara itu semasa PRU-15 lalu, UMNO-BN gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen yang ditandingi mereka di Selangor.
Untuk rekod, Selangor tidak mengadakan PRN secara serentak dengan PRU-15 lalu dan memilih untuk diadakan secara berasingan.
Pada 2 Mei lalu, UMNO mencadangkan agar parti itu diberikan 22 kerusi DUN pada PRN Selangor akan datang.
Ketua Pemuda Selangor, Mohd Imran Tamrin berkata cadangan UMNO adalah untuk mengetengahkan sekurang-kurangnya seorang calon DUN di setiap 22 kerusi Parlimen di negeri itu.