• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

UMNO Perak kenal pasti lebih 50 ahli sabotaj parti hingga kalah melungkup waktu PRU15

Mar 20, 2023
Spread the love

UMNO Perak mengenal pasti lebih 50 ahlinya yang mensabotaj parti hingga membawa kepada kekalahan teruk di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua nama mereka telah dihantar kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan selanjutnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, sebahagian daripada mereka sudah dipecat membabitkan ahli di bahagian Larut dan beberapa bahagian lain.

“Saya ingat dari Larut ada 17 orang yang dipecat dan di beberapa tempat lain juga ada, kita ada laporan kerana memang Majlis Kerja Tertinggi (MKT) minta Umno Bahagian hantar nama.

“Kita hantar (laporan) dan kami tidak sewenang-wenangnya ambil tindakan kerana perlu ada proses termasuk saksi kejadian,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak, hari ini.

Jelas Saarani, antara kesalahan mensabotaj parti yang dikesan ialah secara berkempen untuk parti lawan secara terang-terangan seperti membawa bendera parti itu.

“Kita dapat laporan dan hantar laporan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno negeri dan Pusat, malah sebahagian daripada mereka sudah dipecat,” katanya.

Mengenai Pemilihan Umno di semua 24 bahagian di Perak semalam, Saarani berkata, walaupun keputusan muktamad belum diterima, tinjauan dan pemantauan mendapati perjalanan mesyuarat dan pemilihan lancar tanpa kekecohan.

Beliau berharap mereka yang dipilih terus memberikan perkhidmatan baik manakala yang tewas jangan merajuk atau mensabotaj parti.

“Nak beri sumbangan kepada parti, sumbanglah dalam apa juga keadaan sebab jadi ahli biasa pun kita boleh terus beri sumbangan kepada parti,” katanya.