PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang meluangkan masa melawat penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang dimasukkan ke hospital akibat masalah paru-paru dan jantung.
Menerusi perkongsian di Facebook oleh anaknya, Muhammad Khalil memaklumkan Ustaz Azhar sangat bersemangat untuk kembali berkuliah dan meneruskan dakwah.
“Mendengar perkhabaran Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke hospital, saya bersama ayahanda hadir ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menziarahi beliau.
Nampak Ustaz Azhar sangat bersemangat untuk kembali berkuliah dan meneruskan dakwah.
“Sama-sama kita doakan semoga beliau cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi hantaran di FB malam tadi.
Beliau turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan Ustaz Azhar ceria dan gembira dengan kunjungan Presiden PAS itu.
Sebelum ini, perkembangan mengenai penceramah bebas itu yang dilaporkan dimasukkan ke hospital dikongsikan beberapa pemimpin di Terengganu serta turut tular di media sosial.
Beberapa tokoh agama dan pemimpin politik mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan Ustaz Azhar yang dikatakan dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu.