SHAH ALAM: Perwakilah PAS Kawasan Shah Alam (PKSA) telah memilih Yang Dipertua (YDP) baharu sesi 2023/25, Ustaz Mohamed Sukri Omar dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) pada 12 Mac 2023. Pemimpin melibatkan Timbalan dan Naib YDP turut dilantik daripada muka baharu.
MAT Kali Ke-36 tersebut berlangsung di Dewan Dato’ Seri Zainal Abidin Yusof, Kompleks PAS 18 yang dirasmikan oleh Hj. Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor.
Setelah selesai perasmian, agenda mesyuarat bermula kira-kira jam 11.00 pagi. Pemilihan jawatankuasa PKSA melibatkan 209 perwakilan yang layak mengundi melibatkan jawatankuasa kawasan, Dewan Ulama’, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan kira-kira 27 cawangan.
Tepat jam 4.30 petang, Ustaz Mohamed Sukri yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor diumumkan sebagai YDP baharu oleh Sdr Azri Mohamad Arish, pegawai SPR PAS Selangor. Turut diumumkan ialah Ustaz Muhamad Amin Yahya sebagai Timbalan dan Sdr Fakhrul Azman Khalidin sebagai Naib.
Ustaz Mohamed Sukri dalam ucapan penangguhan mengingatkan perwakilan tentang objektif harakah PAS untuk meninggikan kalimah Allah. Justeru, beliau mengharapkan semua ahli PAS mengambil peranan masing-masing menampung kekurangan satu sama lain, lantas mengelakkan pertembungan sesama ahli yang merugikan jamaah.
Beliau turut menyeru semua ahli bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Negeri, seterusnya merampas kerusi DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga. Beliau juga berharap semua ahli terus memanjatkan doa, zikir dan munajat khasnya dalam Ramadhan nanti untuk kemenangan Islam di bumi Selangor dan Malaysia.
MAT ditamatkan pada jam 5.30 petang dengan ribat wehdah dan doa rabitah semua perwakilan yang dipimpin sendiri oleh YDP baharu tersebut. (Media Fastaqim)