• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Usul undi percaya, pelantikan speaker tumpuan hari pertama sidang Dewan Rakyat

Dec 19, 2022
Spread the love

Pembentangan usul undi percaya dan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baru antara tumpuan hari pertama persidangan Parlimen bagi kerajaan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November sebagai perdana menteri ke-10, terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.

Ia bertujuan membuktikan beliau mendapat sokongan ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baru selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula hari ini, juga bakal menyaksikan Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah selain pemilihan timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat terkandung pada urutan nombor dua dan lima.

Pada 2 Disember, media melaporkan Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

Menurut laporan media, ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul disebut-sebut menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Azhar manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan bekas Menteri Dalam Negeri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

Selain itu, ahli Parlimen Lanang daripada DAP Alice Lau dan ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat selain bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin dicalonkan PN untuk jawatan sama.

Turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini adalah pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet pertama 5 Disember lepas berkata persidangan Parlimen pertama itu juga akan membentang dan meluluskan peruntukan khas atau bajet mini bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari.