• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

[VIDEO] Dewan Rakyat kecoh, MP Jelutong kata UMNO parti celaka

Mar 28, 2023
Spread the love

Dewan Rakyat pada sesi petang kecoh seketika apabila Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mendakwa RSN Rayer (PH-Jelutong) menyebut UMNO parti celaka yang dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam.

Ahmad Tarmizi ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, perkara itu dinyatakan Rayer ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima sebelum ini.

“Saya nak bertanya, bagaimana kenyataan ADUN Seri Delima dulu yang hari ini menjadi Ahli Parlimen Jelutong, satu ketika beliau menyatakan satu penghinaan.

“Beliau menyebut UMNO parti celaka dan ketika itu ia dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam,” katanya.

Rayer tidak lama selepas itu bangun sambil meminta Ahmad Tarmizi menarik balik kenyataan dibuatnya dan memohon maaf kerana beliau didapati tidak bersalah apabila ia diputuskan di mahkamah.

Rayer turut berkata, peguam belanya dalam kes itu di mahkamah iaitu Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo turut hadir di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang mengendalikan mesyuarat kemudian meminta Ahmad Tarmizi menarik balik kenyataan dibuatnya selepas menilai mengenai keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, Ahmad Tarmizi mengambil masa untuk melaksanakan hasrat Rayer walaupun didesak beberapa kali oleh Johari dengan hanya berkata ‘ok’.

Tidak lama kemudian, situasi kekecohan itu berlarutan apabila Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membangkitkan pula perkataan dikeluarkan Rayer apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pernah berkata PAS sebagai parti ajaran sesat.

Ayat itu dikeluarkan Rayer ketika gilirannya sewaktu berbahas peringkat jawatankuasa bagi KDN.

Ahmad Fadhli menggesa Rayer menarik balik ayat itu kerana beliau menggunakan perkataan ‘masih’ menuduh Muhyiddin.

“Tadi saya terdengar Jelutong (Rayer) menyebut ayat berbanding Pagoh yang ‘masih’ berpendirian bahawa PAS parti ajaran sesat…macam mana Jelutong boleh tahu Pagoh masih berpendirian PAS parti ajaran sesat?

“Ini satu tuduhan, mana-mana ahli mengeluarkan kenyataan di dewan,” katanya.

Ketegangan itu akhirnya reda selepas Rayer bersetuju membetulkan semula ayat yang diungkapkannya.

“Saya akan rephrase (betulkan ayat) semula,” katanya.